Puskas: Faiz Harumkan Nama Negara - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Kejayaan Mohd Faiz Subri meraih
Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 telah
mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, kata Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau mengucapkan tahniah kepada pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah,
itu selepas diumumkan selaku pemenang di majlis Anugerah Bola Sepak FIFA
2016 di Zurich, Switzerland, awal pagi ini.
"Tahniah Faiz Subri memenangi FIFA PUSKAS Award 2016. Alhamdulillah
berkat usaha membuahkan hasil, harumkan nama Malaysia di persada
antarabangsa," katanya dalam catatan di laman Twitternya.
Jaringan menarik Mohd Faiz itu menerima undian sebanyak 59.46 peratus
mengalahkan dua lagi calon - Johnath Marlone Azevedo da Silva dari
Brazil yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez
dari Venezuela, 10.01 peratus.
Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma
semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga
Super, 16 Feb tahun lepas.
Sementara itu, segenap lapisan masyarakat Malaysia tidak melepaskan
peluang melalui media sosial untuk mengucapkan tahniah kepada Mohd Faiz
selepas pengumuman tersebut
Ia termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman
Dahlan dalam akaun Twitternya, yang berkata tiada ucapan tahniah yang
boleh menggambarkan kebanggaan negara terhadap pencapaian penyerang
Pulau Pinang itu.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali
Ibrahim dalam akaun Twitternya berkata: "Tahniah Faiz (Congratulation
Faiz). We salute you (Kami tabik anda)".
Pengguna Twitter, @aiemiemyra berkata ia adalah berbaloi untuk menunggu
di hadapan televisyen untuk mendengar ucapan daripada Mohd Faiz.
Seorang lagi pengguna Twitter, @jimmylajim berharap pencapaian Mohd Faiz
itu dapat memberi inspirasi kepada ramai pemain bola sepak muda
Malaysia untuk meraih pengiktirafan antarabangsa pada masa depan.
-BERNAMA