Pelarian Rohingya akan dijadikan aset - TPM
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang merancang untuk
menjadikan pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi
Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini sebagai
aset tenaga kerja negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi berkata, penukaran status mereka yang selama ini
dianggap tanggungan itu diharap dapat membantu sebagai tenaga kerja
dalam sektor memerlukan.
Ketika ini, dianggarkan sekitar 55,000
pelarian berdaftar berada di Malaysia dan menurut Ahmad Zahid, setiap
daripada mereka berpeluang bekerja di negara ini.
"Kita akan
berikan kemudahan, pertamanya untuk diberikan latihan dalam bidang
separa mahir yang akan kita perincikan pelaksanaannya supaya mereka juga
dapat diberi peluang pekerjaan dengan terus memegang kad Pas Lawatan
Kerja Sementara (PLKS).
"Ia supaya kita dapat tukarkan status
mereka daripada menjadi liabiliti selama ini kepada aset iaitu menjadi
tenaga kerja tambahan mengikut keperluan bidang-bidang tertentu yang
diizinkan mengikut perundangan," katanya selepas mengadakan pertemuan
dengan Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki di Pusat Konvensyen Kuala
Lumpur (KLCC) semalam.
Ahmad Zahid memberitahu perkara itu sedang dalam perincian dan akan dimaklumkannya dalam masa terdekat.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai persetujuan Hamas dan
Fatah untuk membentuk kerajaan gabungan, Ahmad Zahid berkata, ia satu
langkah yang disarankannya dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemimpin Hamas, Khaled Mashal semasa
Perhimpunan Agung UMNO tempohari.
Pada masa sama, beliau menyeru dunia untuk bersama menolak usaha meletakkan kedutaan daripada Tel Aviv ke Jerusalem.
"Ini seolah-olah memberi pengiktirafan kepada pencerobohan Israel di
Palestin sedangkan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB memutuskan
supaya perjanjian persempadanan mengikut garis 1967 itu hendaklah
dipatuhi Israel.
"Dalam hal ini Malaysia komited, bukan hanya
dalam menentukan resolusi itu dilaksanakan tetapi kita meminta
masyarakat antarabangsa terutamanya menggunakan platform OIC untuk
menentukan bahawa jika ada tindakan demikian, masyarakat antarabangsa
perlu menolak," ujarnya
-AstroAwani