Malaysia Yakin Pentadbiran Baharu AS Teruskan Program Pengecualian Visa - Zahid
PUTRAJAYA - Malaysia yakin pentadbiran baharu
Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump akan meneruskan
program pengecualian visa AS untuk Malaysia, yang kini telah memenuhi
hampir kesemua syarat yang ditetapkan, kata Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata hanya satu sahaja
syarat ditetapkan Jabatan Negara AS yang belum dipenuhi oleh Malaysia,
iaitu penolakan permohonan visa kurang daripada tiga peratus.
Katanya ketika ini kadar penolakan permohonan visa adalah 3.7 peratus
dan yakin Malaysia dapat memenuhi syarat itu menjelang September 2018.
"Kita cuma perlu 0.7 peratus sahaja lagi untuk memenuhi kehendak itu
dan kita amat positif program pengecualian visa ini akan terus
dilaksanakan.
"Penolakan itu atas sebab teknikal dan prosedur, bukan soal
keselamatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat
Kehormat Rela kepada Ahli Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian
Dalam Negeri, di sini hari ini.
Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat
ke Malaysia yang baharu, Kamala Shirin Lakhdhir, yang memulakan tugas
pada 5 Jan lepas, menggantikan Joseph Yun yang menamatkan
perkhidmatannya pada Oktober tahun lepas. Berdasarkan perbincangan
selama setengah jam dengan Lakhdhir, Ahmad Zahid berkata duta baharu AS
itu komited untuk menyampaikan mesej Malaysia berkenaan program
pengecualian visa AS itu kepada pentadbiran baharu AS.
"Saya pasti mesej itu jelas dan terang dan beliau menunjukkan sangat komited," katanya.
Malaysia menyatakan hasrat menyertai program pengecualian visa AS dalam
perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan
bekas presiden AS Barack Obama semasa pemimpin itu melawat Malaysia pada
April 2014.
Program itu akan membolehkan rakyat Malaysia memasuki AS tanpa memohon
untuk mendapatkan visa dan membolehkan mereka tinggal di negara itu bagi
tempoh maksimum 90 hari untuk tujuan pelancongan atau perniagaan.
Mengenai perkara lain yang dibangkitkan dalam pertemuan tersebut,
katanya Lakhdhir akan kembali semula ke Washington DC untuk memahami
dasar-dasar baharu AS, serta berbincang dengan semua duta AS yang
dilantik.
Menurutnya beliau yakin perkara yang telah dibincangkan dengan duta
terdahulu akan terus diberikan kesinambungan, biarpun Presiden Trump
mempunyai pelbagai dasar baharu namun perjanjian dan kesefahaman sebelum
ini akan terus dilaksanakan.
-BERNAMA