Kerajaan Lulus RM800 Juta Atasi Banjir Di Kelantan - TPM
JOHOR BAHRU - Kerajaan meluluskan sebanyak RM800 juta
untuk melaksanakan dua projek penyelesaian jangka panjang masalah
banjir di Kelantan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi.
Menurut beliau, daripada peruntukan itu, sebanyak RM300 juta disediakan
untuk projek tebatan banjir fasa pertama di Sungai Golok.
Projek tersebut yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Pengairan dan
Saliran (JPS) dijangka dilaksanakan pada Jun tahun ini, kata beliau
kepada pemberita di sini hari ini.
"Projek seterusnya pula sedang direka bentuk oleh JPS di bawah fasa
kedua bagi memastikan isu banjir diatasi bagi tempoh jangka panjang,"
katanya.
Ahmad Zahid berkata peruntukan selebihnya melibatkan RM500 juta pula
diberi untuk projek pengorekan muara Sungai Kelantan dan pembinaan
tambak di sungai terbabit.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, menziarahi pesara
komando tentera, Abu Bakar Md Ahmad, 66, yang menghidap strok sejak dua
bulan lalu, di kediaman pesara itu di Taman Bukit Senang, Senai, dekat
sini.
"Pelaksanaan dua projek besar itu sebagai usaha mengurangkan risiko
banjir akibat limpahan air Sungai Kelantan dan kita menjangkakan projek
siap tidak lebih daripada lima tahun," kata Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara,
berkata kerajaan juga mengesyorkan Agensi Pengurusan Bencana Negara
(NaDMA) supaya membuat penilaian kerosakan sosioekonomi fasa awal bagi
rakyat yang terjejas banjir sejak akhir Disember tahun lalu sehingga
minggu pertama bulan ini.
Beliau berkata penilaian itu akan membantu rakyat yang terkesan akibat
banjir dan dijalankan secara bersama antara agensi pusat lain seperti
Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Pendidikan
Negeri.
"Aspek ini adalah sebagai langkah segera yang perlu diberi keutamaan
bagi memastikan rakyat yang terjejas punca pendapatan sama ada daripada
aktiviti ekonomi dan pekerjaan, masing-masing dapat dipulihkan dengan
bantuan yang wajar," katanya.
Ahmad Zahid berkata bantuan wang ehsan juga akan diselaraskan oleh NaDMA
dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan
Kebajikan Masyarakat berdasarkan pusat pemindahan banjir mengikut zon.
Dalam isu lain, Ahmad Zahid berharap agar semua bantuan dan peruntukan
yang disediakan kerajaan pusat untuk menangani masalah banjir itu, dapat
diterima baik oleh kerajaan negeri Kelantan.
Katanya biarpun negeri itu ditadbir oleh pembangkang yang berlainan
fahaman politik, ia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kedua-dua
pihak untuk bekerjasama, lebih-lebih lagi dalam pelaksanaan projek
pembinaan tebatan dan tambakan di Sungai Golok dan Sungai Kelantan.
"Kajian telah dilakukan oleh JPS tetapi kami mahukan kolaborasi kerajaan
negeri kerana kadang-kadang ia melibatkan soal pengambilan tanah dan
hal ehwal tanah adalah di bawah kerajaan negeri, maka kerjasama adalah
untuk menyegerakan kerja-kerja perundangan yang mengambil masa yang
lama," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan projek tambakan di Sungai Kelantan
tidak akan menampakkan hasil yang nyata sekiranya pembalakan di kawasan
sekitar masih berterusan, sehingga membawa hakisan seperti batu-batan ke
kawasan sungai.
Berkenaan isu kekurangan bekalan makanan terutama ikan sepanjang musim
tengkujuh sekarang pula, Ahmad Zahid berkata pihaknya telah mengadakan
perbincangan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia bagi memastikan stok
barangan itu mencukupi.
"Namun begitu, umumnya kita tahu harga akan meningkat kerana permintaan
melebihi penawaran, tetapi kita akan cuba seadaya upaya untuk melakukan
penyelarasan harga agar tidak membebankan pengguna," kata beliau.
-BERNAMA