Kelantan Dan Persekutuan Perlu Bekerjasama Secara Holistik Tangani Banjir - TPM
PASIR MAS - Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan negeri
Kelantan dan Persekutuan perlu bekerjasama secara holistik mencari
langkah jangka panjang bagi menangani masalah banjir yang berlaku saban
tahun di negeri ini.
Ahmad Zahid berkata beliau harap kerajaan negeri di bawah pimpinan
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dapat berlapang dada dan berfikiran
terbuka dalam menyelesaikan masalah tersebut bagi membantu meringankan
beban rakyat yang saban tahun terpaksa berdepan dengan musibah
berkenaan.
"Cara terbaik paku alam iaitu hutan, sungai dan gunung-ganang hendaklah
dipertahankan. Oleh yang demikian kita harap jalinan kerjasama antara
kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah
banjir secara holistik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melawat 1,441 mangsa
banjir daripada 653 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir
di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri
Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan
Kassim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua
UMNO bahagian Rantau Panjang Datuk Abdullah Mat Yassin.
Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut ketika ditemui pemberita, Ahmad
Zahid berkata beliau akan mengarahkan Mustapa dan Shahidan agar duduk
semeja dengan Ahmad bagi memperincikan bentuk koordinasi yang boleh
dilakukan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menangani
masalah banjir di Kelantan.
"Saya minta Datuk Seri Mustapa dan Datuk Seri Shahidan untuk
bersama-sama dengan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Ahmad
Yakob dan mencari jalan dengan mengadakan mesyuarat memperincikan apakah
koordinasi yang dapat dilakukan.
"Bukan hanya dari segi bantuan ketika banjir dan pasca banjir tetapi
penyelesaian jangka panjang harus dicari sebagai tanda istiqamah dan
komitmen dalam bentuk tabayun antara kerajaan negeri dan juga kerajaan
Persekutuan," katanya.
Ahmad Zahid berkata berkata antara langkah awal yang dapat dilakukan
oleh kerajaan negeri dalam menangani bencana banjir di negeri ini adalah
dengan melaksanakan penebangan hutan secara berstruktur dan terpilih,
selain mengurangkan aktiviti pembalakan untuk dijadikan kawasan ladang.
Beliau berkata kegiatan pembalakan hanya akan menyebabkan hakisan tanah
yang mengundang kepada berlakunya dasar sungai yang cetek, sekali gus
akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan Persekutuan dalam menjalankan
projek mendalamkan dasar sungai.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut menafikan kejadian
banjir yang berlaku di selatan Thailand ketika ini menjadi penyumbang
kepada bencana sama yang berlaku di Kelantan ketika ini.
"Siasatan telah dilakukan dan didapati bahawa masalah hujan lebat juga
berlaku di kawasan mereka (Thailand) dan berlaku juga kenaikan paras air
di sungai-sungai di Thailand.
"Maka saya fikir tuduhan itu tidak betul dan kita telah mendapat
kerjasama cukup baik daripada kerajaan Thailand khususnya gabenor di
wilayah-wilayah di selatan Thailand, dan kita harap perkara ini dapat
diperbetulkan laporannya.
Terdahulu dalam ucapannya itu, Ahmad Zahid turut berkata beliau akan
memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membeli
lapan bot amfibia untuk ditempatkan di Kelantan dan Terengganu.
Dalam masa yang sama beliau akan mengarahkan Panglima Angkatan Tentera
Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk menghantar lori
jenis tetra bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa banjir di kawasan
yang terjejas dengan bencana itu.
-BERNAMA