Jumlah Ketibaan Pelancong China Di Malaysia Meningkat Ketara - TPM
BEIJING - Ketibaan pelancong China di Malaysia
meningkat dengan ketara sejak kerajaan memperkenalkan kemudahan
pengecualian visa atau kemudahan ENTRI (Pendaftaran pelancongan
elektronik) dan kemudahan visa elektronik pada Mac tahun lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah
permohonan untuk kemasukan dari China bagi tempoh Mac hingga Disember
tahun lepas ialah sebanyak 2.2 juta berbanding 1.2 juta bagi tempoh sama
pada 2015.
Beliau berkata sepanjang 2015, sebanyak 1.7 juta pelancong China
termasuk mereka yang berada di luar negara Tembok Besar itu melawat
Malaysia dan berbelanja kira-kira RM5.7 bilion atau purata RM3,500
seorang.
"Usaha gigih akan terus dilakukan untuk menggamit kedatangan pelancong
menerusi tiga musim percutian utama iaitu sekitar Tahun Baharu Cina,
percutian musim panas dan percutian hujung tahun," katanya kepada
pemberita Malaysia, di sini Rabu.
Beliau berkata masih terdapat banyak ruang untuk diusahakan oleh
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam membawa lebih ramai
pelancong China ke Malaysia.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata statistik Jabatan Imigresen
menunjukkan kebanyakan pelancong China yang berkunjung ke Malaysia
adalah dalam kategori percutian keluarga dan jumlah yang tinggal
melebihi tempoh visa adalah amat kecil.
Beliau turut meminta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan meningkatkan
usaha menggalakkan penerbangan carter ke Malaysia kerana masih banyak
bandar-bandar utama di China yang tidak mempunyai perkhidmatan
penerbangan terus ke Malaysia.
Katanya tumpuan akan diberi kepada Labuan sebagai destinasi pelancongan
baharu serta dipromosi sebagai laluan dan pintu masuk pelancong China ke
Sabah dan Sarawak.
Mengulas pertemuannya dengan Menteri Keselamatan Awam China Guo Shengkun
semalam, Ahmad Zahid berkata beliau menyampaikan penghargaannya kepada
Guo berhubung respons pantas China terhadap setiap permohonan yang
dikemukakan Malaysia.
Ditanya mengenai kesan insiden penerbangan MH370 terhadap sektor
pelancongan China di Malaysia, Ahmad Zahid berkata kejadian itu hanya
memberi kesan sekitar empat bulan sebelum keadaan kembali kepada sedia
kala.
Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet
mengenai Pelancongan, beliau akan meminta peruntukan untuk pengiklanan
dan promosi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
ditingkatkan.
Perincian mengenai perkara itu akan diumum apabila tiba masanya, kata
Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan enam hari ke republik ini bermula
semalam.
-BERNAMA