Elemen Tradisional Perlu Dalam Pembangunan Bagan Datuk - Ahmad Zahid
BAGAN DATUK - Elemen tradisional perlu terus
dikekalkan dalam pembangunan Bagan Datuk yang secara rasmi diisytiharkan
sebagai daerah pentadbiran ke-12 di Perak hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
dengan perimbangan antara sistem pentadbiran dan elemen nilai-nilai
tradisional, ia diyakini dapat memantapkan pembangunan di daerah Bagan
Datuk.
"Eleman tradisional perlu dikekalkan terutama yang menyentuh tentang
kedaulatan dan kesultanan. Kita tidak menolak dunia tapi pada masa sama
mendokong akhirat," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berucap pada majlis
pengisytiharan Bagan Datuk sebagai daerah pentadbiran ke-12 oleh Sultan
Perak Sultan Nazrin Shah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid meminta semua pihak sama ada yang sehaluan
dengannya atau sebaliknya supaya dapat memastikan pembangunan daerah
Bagan Datuk dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
"Kerjasama daripada semua pihak terutama pegawai peringkat Persekutuan dan negeri amat saya perlukan.
"Saya sendiri akan pantau pembangunan di daerah ini, bukannya campur
tangan tapi sekadar pastikan komitmen yag dirancang dapat dilaksanakan,"
katanya.
Menurut Ahmad Zahid cadangan supaya Bagan Datuk dijadikan daerah
pentadbiran baharu merupakan satu bentuk jalinan kombinasi erat antara
kerajaan Persekutuan dan negeri kerana ia direalisasikan hanya dalam
masa tiga bulan selepas dibentangkan kepada jemaah menteri pada 16 Mac
tahun lalu.
"Dengan komitmen tinggi daripada kerajaan Perak, hanya dalam tempoh
tiga bulan sahaja Bagan Datuk ini diwartakan sebagai daerah pentadbiran
baharu iaitu pada 16 Jun 2016," katanya.
Bagan Datuk merupakan daerah ke-12 di Perak selepas Kinta, Larut Matang
dan Selama, Hilir Perak, Manjung, Kerian, Batang Padang, Kuala Kangsar,
Kampar, Perak Tengah serta Muallim.
-BERNAMA