Zahid Janji Terus Bantu Najib
BAGAN DATOH - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan terus membantu Datuk Seri
Najib Tun Razak tidak kira dalam keadaan apa sekalipun.
Beliau turut meminta orang ramai khususnya penduduk Parlimen Bagan
Datoh supaya mendoakan hubungan beliau dengan perdana menteri terus
berpanjangan.
"Saya minta orang Bagan Datoh mendoakan hubungan saya dengan Najib
terus berpanjangan sebagai pemimpin nombor satu dan dua, seorang
sahabat, adik beradik," katanya ketika berucap pada majlis sepetang
Timbalan Perdana Menteri bersama kepimpinan masyarakat Parlimen Bagan
Datoh di Wisma Bagan Datoh di sini.
Pada majlis itu, kira-kira 500 orang pemimpin masyarakat setempat dan anggota parti Komponen Barisan Nasional hadir.
Ahmad Zahid berkata beliau telah bekerja bersama Najib sejak 1 Okt 1987
sebagai setiausaha politik semasa perdana menteri ketika itu menjadi
Menteri Belia dan Sukan sebelum menjadi Menteri Pertahanan.
"Selepas itu saya terus bekerja dalam sektor korporat, namun saya membantunya (Najib) dari luar," katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh
meminta pihak tertentu supaya menghentikan segala fitnah ke atasnya
termasuk surat layang kononnya beliau mendesak Najib meletak jawatan
kerana ia hanya membuang masa.
Ahmad Zahid menegaskan sepanjang kerjaya politiknya beliau tidak pernah
menjatuhkan sesiapa dan pegangan itu menyebabkannya kekal sebagai
Anggota Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh.
"Bukan jenis saya untuk menjatuhkan sesiapa termasuk perdana menteri
sebab itu di Bagan Datoh saya selamat dari 1985 sampai sekarang dan
tiada siapa lawan saya," katanya.
-BERNAMA