Semakan Semula Elaun Penjawat Awam Dibawa Ke Kabinet Rabu Ini - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Tuntutan Kongres Kesatuan
Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkenaan semakan
semula elaun-elaun kakitangan awam akan dibincangkan dalam mesyuarat
kabinet Rabu ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata beliau berpendapat tuntutan itu adalah
munasabah kerana elaun berkaitan sudah tidak disemak selama 14 tahun.
"Saya akan ingatkan Menteri Sumber Manusia (Datuk Richard Riot Jaem)
untuk membawakan kedua-dua tuntutan itu untuk dibincangkan dalam
mesyuarat kabinet Rabu ini," katanya semasa berucap merasmikan
Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-27 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot Jaem, timbalannya
Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan presiden Cuepacs Datuk Azih Muda.
Ahmad Zahid berkata selain itu tuntutan Cuepacs agar kerajaan mewujudkan
Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan untuk sektor awam juga akan
dibincangkan pada mesyuarat tersebut.
"Saya fikir perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan mendengar
permintaan-permintaan ini dan apabila tiba masa akan memenuhi
permintaan-permintaan ini," katanya.
Namun, timbalan perdana menteri berkata apabila menuntut perlu ada
timbal balas iaitu penjawat awam perlu menunjukkan peningkatan
produktiviti dan prestasi dalam perkhidmatan.
Katanya sebarang permintaan juga perlu berdasarkan kesesuaian dan kemunasabahan mengikut kesesuaian situasi semasa.
Terdahulu semasa menyampaikan ucapan alu-aluan, Azih mengemukakan
beberapa permintaan kepada kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan
awam yang antara lain termasuk mewujudkan skim insurans dan mengekalkan
saiz perkhidmatan awam.
-BERNAMA