Sektor Pelancongan Pulau Pinang Terus Cemerlang - Ahmad Zahid
GEORGE TOWN - Pulau Pinang terus cemerlang sebagai
satu daripada negeri terkemuka di negara ini dari segi pelancongan dan
industri itu juga telah menyumbang 40 peratus daripada ekonomi negeri
secara keseluruhan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi.
Beliau berkata THE TOP@Komtar, tarikan terbaru di negeri ini, boleh
menjadi platform untuk mempromosikan Pulau Pinang di peringkat domestik
dan juga antarabangsa.
"Pulau Pinang telah lama menjadi destinasi pilihan di kalangan pelancong, baik tempatan mahupun antarabangsa.
"Malahan pulau ini telah mencipta nama merentasi dunia, dan baru-baru
ini, ia disenaraikan antara 10 destinasi terbaik di dunia untuk
menikmati persaraan oleh majalah pelancongan terkenal Conde Nast
Traveller," kata beliau dalam ucapannya sempena pembukaan rasmi THE
TOP@Komtar di sini hari Ahad.
Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan oleh Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Ahmad Zahid berkata dengan pembukaan THE TOP yang turut menyediakan
jambatan kaca Rainbow Skywalk, ia menjadi batu loncatan untuk Pulau
Pinang membantu negara mencapai matlamat negara menjadi negara
berpendapatan tinggi dalam landskap antarabangsa.
"Struktur tertinggi ini bukan sahaja sebagai ikon tetapi juga
memperingati visi mendiang Tun Dr Lim Chong Eu untuk Pulau Pinang.
Apabila Tun Dr Lim dilanik sebagai Ketua Menteri, beliau sedar tentang
perlunya bagi pembangunan bandar dan pemuliharaan warisan dan dengan
itu, Komtar dibina," katanya.
Ahmad Zahid turut memuji Only World Group kerana mengambil langkah berani kerana memberi wajah baharu kepada Komtar.
Berdasarkan data yang dikumpul oleh Tourism Malaysia, pada tahun 2015
sahaja, negeri ini mencatatkan ketibaan sejumlah 6.3 juta pelancong
domestik dan antarabangsa.
THE TOP@Komtar ialah sebahagian daripada bangunan ikonik dan bersejarah
yang menjadi ikon bagi Pulau Pinang selama beberapa dekad dan dibina
semasa era bekas Ketua menteri, Tun Dr Lim Chong Eu pada tahun 1970-an.
The Top dijangka menjadi tarikan terbaharu di negeri ini. Ia termasuk
jambatan kaca Rainbow Skywalk di tingkat 68, menara tinjau, pusat
penyelidikan jurasik dan kubah teknologi Pulau Pinang.
Sementara itu Mohamed Nazri berkata kerajaan persekutuan sentiasa
komited dalam membantu kerja-kerja menaiktaraf perkhidmatan kereta kabel
ke Bukit Bendera yang menjadi mercu destinasi di negeri ini.
Beliau berkata ia berikutan penggunaan kereta kabel itu mencatatkan
peningkatan ekoran bilangan pengunjung ke Bukit Bendera terus meningkat
daripada hanya 200,000 pengunjung pada 2008 kepada 1.6 juta pengunjung
masa kini.
"Sebab itu dalam peruntukan kementerian saya, sememangnya tiap-tiap
tahun saya memasukkan peruntukan bagi kereta kabel. Bukit Bendera memang
memerlukan kereta kabel kerana ia merupakan lokasi terkenal dan
bilangan pengunjung semakin meningkat," katanya.
-BERNAMA