Polis Buru Penyebar Surat Layang - Ahmad Zahid
KAJANG - Polis sedang memburu penyebar surat layang
yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk
meletakkan jawatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi.
Beliau berkata pihak yang menyebarkan surat layang itu melalui media
sosial melakukan tiga kesalahan iaitu memalsukan tandatangan beliau,
menggunakan bahan rasmi kerajaan dan menimbulkan perkara membawa fitnah
(menyebar fitnah).
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata polis telah menerima
sekurang-kurangnya 20 laporan polis berhubung penyebaran surat layang
itu.
Katanya beliau dimaklumkan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia (SKMM) sedang melakukan siasatan secara mendalam untuk
memburu penyebarnya.
"Saya pasti siapa-siapa sahaja yang melakukannya akan menerima tindakan
undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis
penutup Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF)
kee-24 di sini hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas penyebaran lampiran surat layang yang
mengandungi senarai kabinet baharu dengan Ahmad Zahid dinamakan sebagai
Perdana Menteri di media sosial dan juga aplikasi Whatsapp.
Surat layang tersebut juga menggesa semua anggota kabinet mendesak Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Ahmad Zahid yang juga naib presiden UMNO yang menjalankan tugas
timbalan presiden berkata surat itu adalah satu fitnah untuk mewujudkan
ketegangan dalam BN dan UMNO.
"Mereka melihat kemesraaan saya dan perdana menteri yang terjalin sejak
1987 ketika Najib masih Menteri Belia dan Sukan dan juga Ketua Pemuda
UMNO. Mereka cemburu dengan perpaduan dan keakraban yang wujud. Maka,
mereka melakukan perlagaan antara pemimpin.
"Mereka tahu jika kedua-dua pemimpin (Najib dan Ahmad Zahid) itu boleh dipecahkan, matlamat mereka tercapai," katanya.
Ahmad Zahid berkata surat layang itu tidak memberi kesan mendalam
kepada UMNO dan BN kerana ramai tidak percaya dengan surat tersebut
berikutan pemalsuan kepala surat dan juga tandatangan beliau.
Selain itu, katanya, senarai jawatan yang disebutkan juga tidak mengikut protokol atau garis panduan.
Semalam, Najib yang juga Presiden UMNO berkata penyebaran khabar angin
itu adalah usaha untuk merosakkan hubungan rapat beliau dan timbalan
perdana menteri.
-BERNAMA