Perhimpunan Sayap UMNO Tumpu Penyelesaian Masalah Rakyat - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Isu seperti kos sara hidup dan
pemilikan rumah yang menjadi tumpuan dalam perhimpunan agung tiga sayap
UMNO menunjukkan keprihatinan parti untuk terus mencari penyelesaian
berhubung permasalahan rakyat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden UMNO itu yang menjalankan tugas timbalan presiden parti
berkata pengurusan tertinggi parti akan mengambil perhatian pelbagai
cadangan yang dilontarkan perwakilan untuk diperhalusi oleh kerajaan.
"Isu kos sara hidup ini juga merupakan isu yang membumi dalam kalangan
kepimpinan akar umbi UMNO dan ia dilaungkan oleh jurucakap-jurucakap
ketiga-tiga sayap.
"Ini menunjukkan keprihatinan sayap-sayap yang menyatakan perit jerih
masalah kos sara hidup dan keprihatinan dan kepedulian atas masalah ini
tentunya harus fokus kepada kumpulan sasar yang harus dibantu," katanya
dalam sidang media di sini, Rabu.
Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri sebelum itu meninjau
perjalanan perhimpunan agung ketiga-tiga sayap UMNO - Wanita, Pemuda dan
Puteri - yang berlangsung bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Mengenai permasalahan pemilikan rumah pula, Ahmad Zahid berkata beberapa
cadangan yang diutarakan mungkin boleh diteliti pihak berkenaan seperti
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan
kerajaan negeri.
"Kenaikan harga rumah berakibat daripada kenaikan harga bahan pembinaan
rumah dan kenaikan harga tanah dan tentunya mereka (rakyat) mengharapkan
pihak kerajaan prihatin dan memberikan struktur bagi penyelesaian
masalah ini," katanya.
Ahmad Zahid berkata ketiga-tiga sayap turut membangkitkan usaha ke arah
kesiapsiagaan UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dan
menangkis serangan daripada seteru politik parti itu.
Jelasnya, serangan terhadap parti bukan hanya perlu ditangkis tetapi
sesuatu yang lebih proaktif mesti dilakukan bagi memastikan ia tidak
menghakis kepercayaan rakyat terhadap parti dan kerajaan.
-BERNAMA