Perbarisan, Acara Naik Bendera Buka Tirai Perhimpunan Agung UMNO 2016
KUALA LUMPUR - Majlis perasmian
Perhimpunan Agung UMNO 2016 dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan dan
acara menaikkan bendera UMNO di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden UMNO tiba
pada 9 pagi bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut Ketua
Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy
Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Najib, yang berpakaian baju Melayu berwarna biru diiringi Naib Presiden
UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama Setiausaha Agung UMNO
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ke pentas khas untuk menerima
tabik hormat daripada komander perbarisan, Mohamad Akmal Mohd Tajul
Ariffin serta 150 anggota ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri
UMNO.
Presiden UMNO itu kemudian menaikkan bendera UMNO 'Sang Saka Bangsa'
dengan diiringi nyanyian lagu UMNO, 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' oleh
para anggota dan hadirin yang menyaksikan acara itu.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin diberi penghormatan untuk
memulakan acara perbarisan sempena perasmian perhimpunan agung parti.
Penghormatan itu diberikan UMNO sebagai penghargaan atas pertauliahan
pangkat Brigadier Jeneral yang diterima Khairy dalam pasukan Askar
Wataniah yang berkuat kuasa 14 Jan 2015.
Pada majlis itu, lagu tema perhimpunan pada kali ini 'Melayu Bersatu'
dinyanyikan oleh kumpulan koir mahasiswa Universiti Teknologi MARA
(UiTM) Shah Alam.
Selesai majlis itu, Najib bergerak ke Dewan Merdeka bagi menyampaikan
ucapan dasar Presiden sekali gus merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2016.
Seramai 2,762 perwakilan dari 191 bahagian menghadiri perhimpunan tahunan selama tiga hari hingga Sabtu ini.
-BERNAMA