Pengisytiharan Rasmi Bagan Datoh Sebagai Daerah Baharu 9 Jan Depan
BAGAN DATOH - Bagan Datoh bakal mencatat sejarah
apabila diisytiharkan secara rasmi sebagai daerah baharu di Perak bulan
depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata pengisytiharan
bersejarah itu akan dilakukan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di
Dewan Sekolah Menengah Sains di sini, 9 Jan depan.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta kira-kira 30,000 penduduk Bagan
Datoh supaya dapat hadir ke majlis tersebut bagi menunjukkan tanda
terima kasih kepada Sultan Perak, kerajaan negeri dan kerajaan
Persekutuan.
"Jadi perbezaan keturunan, agama, bangsa atau fahaman politik perlu
diketepikan demi kemajuan Bagan Datoh. Kita bersatu, hadir bagi
memperlihatkan semangat kita selama ini menunggu pembangunan di Bagan
Datoh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Timbalan
Perdana Menteri Bersama Kepimpian Masyarakat Parlimen Bagan Datoh di
Wisma UMNO di sini, hari Sabtu.
Bagan Datoh secara rasmi diwartakan sebagai daerah pentadbiran yang
ke-12 di Perak melalui satu warta kerajaan pada 15 Jun lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Rumah Terbuka
Malaysia Aidilfitri 2016 di sini Julai lalu mengumumkan Bagan Datoh
dinaik taraf sebagai daerah penuh hasil persetujuan bersama antara
kerajaan negeri dengan Persekutuan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta penduduk mendengar taklimat
daripada pegawai daerah mengenai pelan pembangunan di Bagan Datoh
selepas majlis pengisytiharan tersebut selesai.
"Selepas tuanku berangkat pulang jangan balik tapi dengar taklimat
daripada pegawai daerah dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak mengenai
apa yang nak dibangunkan di Bagan Datoh secara terperinci," katanya.
Selain itu, beliau yakin bahawa daerah baharu Bagan Datoh akan maju
seiring dengan kawasan yang diwakili perdana menteri di Pekan, Pahang
dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas,
Pulau Pinang.
Tambahnya, pekan Bagan Datoh juga akan dikenali sebagai Bagan Datoh
Water City tidak lama lagi hasil pembangunan pesat yang sedang dirancang
di kawasan tersebut.
-BERNAMA