PAU: Pandang Ke Hadapan Untuk Umno Kekal Relevan - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Perwakilan UMNO perlu memandang ke
hadapan dengan memahami pola tingkah laku dan gelagat sosial masyarakat
untuk memastikan parti kekal relevan daripada asyik bernostalgia
mengenai bekas pemimpin parti, demikian tegas Naib Presiden UMNO Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang menjalankan tugas sebagai timbalan presiden parti berkata
adalah lebih baik jika perwakilan UMNO tidak lagi meng'hero'kan bekas
pemimpin parti selepas ini.
"Nostalgia itu sesekali harus diingati tetapi memandang ke depan itu
lagi penting," katanya dalam sidang media bersama-sama Naib Presiden
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas perasmian Perhimpunan Agung
UMNO 2016 oleh Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Hishammuddin yang turut ditanya jika terdapat perwakilan pada
perhimpunan agung kali ini yang masih tidak memandang ke hadapan,
berkata terdapat perbezaan 'mood' pada persidangan tahun ini berbanding
tahun lepas.
"Sangat berbeza dari segi semangat kekeluargaan, semangat untuk ke depan dan menjawab kritikan," katanya.
Ditanya mengenai tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara UMNO
dengan PAS, Ahmad Zahid berkata ketika ini apa yang berlaku antara
kedua-dua parti lebih kepada konsep ta'awun dan tabayyun dan bukanlah
kerjasama politik seperti yang digembar-gemburkan.
"Ia terarah kepada ta'awun iaitu memberi pemahaman dan keutamaan kepada isu-isu yang kabur dan juga tabayyun iaitu pencerahan.
"Jadi kedua-dua aspek ini didahulukan daripada tahaluf siyasi. Jika
tidak, mungkin akan timbul salah tafsir. Kesefahaman itu lagi penting
daripada kerjasama," katanya.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang
Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di
Dewan Rakyat pada 24 Nov lepas bagi meminda Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355.
UMNO menyokong usul itu.
- BERNAMA