Ketepi Keegoan Politik Demi Islam - Ahmad Zahid
PUTRAJAYA - Ketepikan keegoan politik dan perbezaan
pendapat demi kepentingan bersama umat Islam di negara ini, kata
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata jurang perpecahan dalam kalangan orang Melayu semakin
melebar dengan lahirnya fahaman-fahaman politik, ideologi dan
kepelbagaian pemikiran baharu dan bercelaru.
Katanya ia sama sekali tidak memberi apa-apa kelebihan, sebaliknya
perbezaan yang pada asalnya merupakan suatu rahmat, boleh bertukar
menjadi ancaman kepada umat Islam.
"Kita tidak mahu kerana perbezaan-perbezaan kecil menyebabkan berlakunya
permasalahan seperti yang berlaku di Syria kerana ini lebih
memperluaskan jurang untuk kita mencari jalan penyatuan.
"Kita akan mencari titik pertemuan. Saya yakin ia akan dapat
dilaksanakan apabila ada keazaman politik yang bersama antara kerajaan,
bukan kerajaan atau berada di luar lingkungan yang ada demi ummah dan
negara," katanya ketika berucap pada Multaqa Perundangan dan Politik
Majlis Perundingan Islam (MPI), di sini Khamis.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata masyarakat bukan Islam di negara ini
juga perlu menghormati dan memberi hak kepada orang Islam untuk
menentukan acuan Islam itu sendiri.
"Adalah tidak munasabah jika wuduk atau solat yang ingin kita buat, kita
perlu bertanya kepada orang yang tidak sama akidah dengan kita sama ada
ia betul atau tidak.
"Belajarlah untuk menghormati apa yang ada pada kita dan kita akan
menghormati mereka yang tidak sama akidah dengan kita," katanya.
Sementara itu, terdapat lapan resolusi perundangan dibentangkan pada
multaqa itu antaranya mengenai memperbetulkan persepsi tentang
kedaulatan Islam di Malaysia, memperkasakan institusi kesultanan Melayu
dan undang-undang Islam di peringkat persekutuan serta negeri.
Selain itu, sembilan resolusi politik turut dibentangkan antaranya
menangani perpecahan kuasa politik dalam kalangan umat Islam bagi
mengelak kuasa politik umat Islam terhakis dan parti pembangkang dan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu berperanan secara lebih efisien
sebagai ejen 'check and balance' (menyemak dan mengimbangi) kepada
kerajaan.
Ahmad Zahid berkata resolusi-resolusi berkenaan akan dikemukakan kepada
kerajaan dan akan diteliti mengikut aspek perundangan dan politik serta
diperincikan mengikut kesesuaian masyarakat berbilang kaum di negara
ini.
-BERNAMA