KDN Diminta Kaji Semula Undang-undang Lapuk - Ahmad Zahid
TELUK INTAN - Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta
supaya mengkaji semula undang-undang lapuk bagi membolehkan hukuman
lebih setimpal dikenakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
kajian semula dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara itu perlu bagi
menyediakan perundangan dan hukuman bersifat futuristik iaitu rasional
bagi tempoh panjang untuk setiap kesalahan yang dilakukan.
"Saya telah mengarahkan penasihat undang-undang KDN bersama-sama dengan
Unit Penderafan di Jabatan Peguam Negara melihat semua perundangan
sedia ada bukan sahaja melibatkan PDRM (Polis Diraja Malaysia) tetapi
perundangan membabitkan bidang-bidang tugas KDN supaya dikaji semula.
"Ini kerana ia bukan sahaja soal hukuman tetapi aspek-aspek yang tidak
terkandung dalam perundangan sedia ada dan harus dilakukan berbentuk
futuristik bagi enakmen, mesti disesuaikan dalam tempoh 30 atau 50 tahun
akan datang," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap kepada pemberita
selepas merasmikan Skim Subsidi dan Bantuan Saringan Kesihatan Untuk
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir
Perak di sini hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed
Apandi Ali yang menyatakan hukuman mengikut Seksyen 14 Akta
Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) perlu dikaji semula.
Mohamed Apandi merujuk kes seorang wanita didenda RM100 oleh Mahkamah
Majistret Johor Bahru kerana menulis perkataan 'babi' dalam saman
trafik.
Katanya hukuman yang dijatuhi terhadap wanita itu adalah hukuman maksimum yang dibenarkan mengikut peruntukan Akta 336.
Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata kerja-kerja membina
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak khusus untuk anak-anak anggota
polis akan bermula Januari depan.
Katanya konsep ulul albab dalam pendidikan akan diterapkan dalam MRSM itu.
"Saya mahu masyarakat mengubah pandangan mereka yang menyatakan
anak-anak polis tidak ada disiplin dari segi pendidikan, bermutu rendah
dan tidak cemerlang dalam pendidikan.
"Beri peluang bagi membuktikan anak polis boleh cemerlang dalam bidang
akademik dan agama. Ini komitmen saya. Bukan untuk pegawai dan anggota
polis Teluk Intan sahaja tetapi di seluruh negara," katanya.
-BERNAMA