Tangkis 'Peluru Berpandu Politik' Menjelang PRU14 - Ahmad Zahid
KAJANG - Semua parti komponen Barisan Nasional (BN)
diminta tangkas menangkis 'peluru berpandu politik' yang dilancarkan
pembangkang khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
semakin banyak fitnah dilemparkan bagaikan 'peluru berpandu' yang
ditembak dari dekat dan jauh terhadap kerajaan dan BN serta individu
dalam kepimpinan BN.
"Dalam keadaan demikian, kepimpinan dalam parti komponen BN,
parti-parti yang bersahabat dengan BN serta badan bukan kerajaan (NGO)
haruslah menghadapi semua fitnah itu dan bukannya hanya berdiam diri,"
katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan tugas Timbalan
Presiden parti, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
penutupan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia
(IPF) Ke-24 di sini, hari Ahad.
Katanya keakraban dalam kalangan kepimpinan dan parti-parti komponen BN mampu menangkis tembakan peluru politik.
Sebagai contoh, katanya, tohmahan kononnya kerajaan membawa masuk
700,000 pekerja asing ke negara untuk diberi taraf kewarganegaraan,
adalah tidak benar.
"Sehubungan itu, kita perlu tolak apa yang dibalingkan mereka.
Keakraban yang terjalin antara pemimpin adalah asas untuk menongkah
tohmahan yang datang kepada kita.
"Saya yakin masyarakat tidak mudah percaya tohmahan yang dilemparkan," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyeru semua pemimpin parti
politik dan NGO yang mewakili masyarakat India supaya tampil berbincang
dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dirinya bagi
menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
Beliau berkata walaupun pelbagai usaha telah dilakukan namun, banyak
lagi yang perlu dilakukan termasuk tentang pendidikan dan sosioekonomi
demi kesejahteraan masyarakat India di negara ini.
"Perdana menteri ikhlas membantu masyarakat India mengatasi semua
masalah ini. Saya juga komited untuk membantu beliau (berbuat
demikian)," katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid meminta IPF supaya terus membantu BN
mendapatkan sokongan masyarakat India dalam usaha membentuk sebuah
kerajaan yang kukuh.
-BERNAMA