Institusi Penghulu Perlu Ditransformasi Selari Perkembangan Semasa
IPOH - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi mahu institusi penghulu dan penggawa
ditransformasi supaya kekal relevan selari dengan perkembangan semasa.
Beliau berkata walaupun institusi berkenaan adalah satu institusi
tradisional, namun peranan dan sumbangannya dalam menghubungkan
masyarakat dengan kerajaan tidak dapat dinafikan.
"Sesuatu harus dilakukan bukan hanya dengan mentransformasi institusi
itu, tetapi dengan pelbagai pendekatan sesuai termasuk dari segi
komunikasi.
Sistem komunikasi di era Generasi X kini telah berubah. Lapan puluh
tujuh peratus kaedah komunikasi adalah dengan 'komunikasi bukan lisan',
hanya 13 peratus dilakukan dengan cara bersemuka," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan
Perwakilan Tahunan Kesatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia
Ke-42 di sini.
Ahmad Zahid menarik perhatian apabila berkata beliau akan mencadangkan
kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said
Keruak supaya semua penghulu dan penggawa di negara ini diberikan gajet
canggih secara percuma.
"Ini (gajet) canggih penting untuk menterjemahkan modenisasi serta transformasi institusi penghulu dan penggawa di negara ini.
Saya sendiri akan menyarankan (beri gajet percuma) kepada beliau
(Salleh) kerana perubahan sistem komunikasi didambakan oleh kita semua,"
katanya sambil diberi tepukan oleh para penghulu dan penggawa yang
hadir.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut menyarankan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya memperuntukkan dana
hasil kutipan daripada syarikat telekomunikasi (telco) bagi menganjurkan
kursus komunikasi kepada penghulu dan penggawa.
Timbalan perdana menteri dalam pada itu mahu skim perjawatan bagi
penghulu dan penggawa dinaik taraf selaras dengan tugas serta
tanggungjawab mereka yang semakin mencabar.
Beliau juga mahu 707 perjawatan yang ada bagi penghulu dan penggawa
seluruh Semenanjung diisi kerana setakat ini hanya 606 perjawatan sahaja
telah diisi.
-BERNAMA