97 Sabitan Kes Pemerdagangan Orang Pada 2016 - Ahmad Zahid
PUTRAJAYA - Sebanyak 97 sabitan kes pemerdagangan
orang direkodkan pada 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memaklumkan perkara itu ketika
mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Majlis
Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) di sini hari
ini.
Sabitan kes berkenaan terdiri daripada 76 sabitan kes pemerdagangan
orang, sembilan sabitan di bawah kes penyeludupan migran termasuk kes di
Wang Kelian dan 12 sabitan kes di bawah Akta Imigresen, Kanun Keseksaan
dan akta lain yang berkaitan, katanya.
"Kejayaan ini hasil kerjasama erat dan komitmen berterusan ahli MAPO
terutama melibatkan timbalan-timbalan pendakwa raya, pegawai
penguatkuasa dan pegawai pelindung kepada mangsa pemerdagangan orang,"
katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat berkenaan.
Ahmad Zahid turut memaklumkan sehingga November tahun ini, 16 mangsa
pemerdagangan orang diberikan kebenaran untuk bergerak bebas oleh MAPO.
Peraturan-Peraturan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran
(Kebenaran untuk Bergerak Bebas dan untuk Bekerja) (Warganegara Asing)
2016 mula dikuatkuasakan pada 4 Mei 2016.
Kerajaan juga bersetuju dengan cadangan penubuhan Pasukan Petugas Akta
Anti-pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dengan
kerjasama organisasi antarabangsa iaitu Pejabat Pertubuhan Bangsa
Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mulai 2017 bagi memperkasakan
siasatan dan penguatkuasaan ATIPSOM 2007, katanya.
-BERNAMA