Usul Pinda RUU 355 Tetap Akan Dibentangkan Minggu Ini - TPM
KUALA LUMPUR - Usul rang undang-undang (RUU)
persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
(RUU 355) akan tetap dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat, minggu
ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usul
itu akan dibuat anggota Parlimen Marang yang juga Presiden PAS Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
"Kerajaan juga akan mencadangkan supaya Jawatankuasa Pemilihan dibentuk
untuk menterlibatkan anggota Parlimen beragama Islam dan bukan Islam.
"Ini bagi memperincikan, memperhalusi dan memurnikan sebarang unsur
yang tidak jelas mengenai pemisahan kuasa pada Mahkamah Syariah dan
Mahkamah Sivil," katanya.
Beliau yang juga Ketua Whip Barisan Nasional (BN) berkata demikian
kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dan taklimat khas
berkaitan RUU itu yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk
Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen hari ini.
Sebelum ini dilaporkan, usul berkenaan dibentangkan Abdul Hadi pada 26
Mei lepas melalui peruntukan rang undang-undang persendirian yang perlu
dicadangkan oleh menteri untuk dibahaskan sebelum speaker membuat
ketetapan mengenainya.
Usul Abdul Hadi itu diletakkan pada nombor empat peraturan mesyuarat
pada hari pertama sidang Dewan Rakyat kali ini namun tidak sempat
dibentang atau dibahaskan malah kerap kali bertukar nombor giliran.
Sidang Dewan Rakyat akan berakhir Khamis ini selepas berlangsung sejak 17 Okt lalu.
RUU itu antara lain bagi meminda Seksyen 2 untuk menggantikan
peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan
mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan
di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di
bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, iaitu dalam menjalankan
undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak
menjatuhkan hukuman dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan
hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan,
selain hukuman mati.
Abdul Hadi pada Mei mengesahkan RUU itu bertujuan untuk memperluaskan
lagi skop hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah dan bukan
bermaksud untuk memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.
Ahmad Zahid menjelaskan, taklimat sejam yang turut dihadiri anggota
parlimen BN dan pembangkang, dibuat berikutan terdapat pelbagai tafsiran
terhadap usul ahli persendirian tersebut apabila ia dibawa ke Parlimen
sebelum ini.
"Undang-undang ini, pertamanya khusus untuk orang Islam dan kedua,
tidak ada mana-mana peruntukan dalam mahkamah sivil akan diambil alih
mahkamah syariah dengan pindaan berkenaan melainkan ia hanya untuk
memperkasakan mahkamah umat Islam.
"Ketiga, dengan adanya jawatankuasa ini, semua perkara dan aspek yang
menjadi kekhuatiran anggota Parlimen bukan Islam sama ada di dalam atau
luar BN akan diperhalusi," katanya.
Beliau menarik perhatian, kerajaan menghormati sensitiviti masyarakat
bukan Islam dan tidak ada niat untuk mempolemikkan isu berkenaan apatah
lagi mahu mengeruhkan kepelbagaian agama di negara ini.
Sementara itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak)
ketika ditemui pemberita menyifatkan taklimat itu amat bermakna dan
produktif untuk semua pihak.
"Saya rasa penting ialah pelaksanaan dari segi penerimaan untuk
mahkamah syariah, tetapi itu terpulang kepada kelulusan Parlimen.
Keputusan tentang kuasa-kuasa undang-undang ini akan ditentukan oleh
Majlis Perundingan atau Dewan Undangan Negeri," kata Abdul Khalid.
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) pula mendakwa
semua pihak pembangkang sepakat dan tidak membantah berhubung isu
tersebut.
"Perbincangan harmoni itu menerima sambutan baik daripada semua, ini
untuk kebaikan Islam dan patut dibuat secara berterusan," katanya.
Sementara itu, Datuk Abdullah Sani (PKR-Kuala Langat) berkata ada
beberapa anggota Parlimen ketika dalam taklimat tersebut telah
melontarkan idea mereka mengenai jumlah sebatan yang patut dikenakan ke
atas pesalah undang-undang syariah.
-BERNAMA