Tangani Daesh Lebih Susah Daripada Komunis, Kata TPM Ahmad Zahid
SINGAPURA - Menangani ancaman kumpulan militan Daesh
adalah lebih susah berbanding ancaman komunis satu ketika dahulu
berikutan kurang pengalaman, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
"Dahulu kita mempunyai pengalaman menghadapi komunis bersama-sama negara barat yang menghadapi ancaman sama.
"Sekarang kita tiada pengalaman (tangani Daesh). Perkongsian dengan
negara Timur Tengah juga agak terbatas berikutan kekangan pemahaman yang
berbeza kerana Malaysia merupakan negara Islam dengan pemahaman yang
sederhana," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Dialog Memerangi
Keganasan Asia-Eropah, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri merupakan seorang
daripada penceramah utama pada dialog itu dengan beliau berkongsi pentas
dengan Setiausaha Negara Parlimen di Kementerian Dalam Negeri Jerman Dr
Gunter Krings MdB.
Mereka mengupas topik "Landskap Ancaman Baharu di Asia dan Eropah".
Pada dialog itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia bersedia berkongsi modul
deradikalisasinya dengan Eropah yang bagi tempoh 10 tahun lepas telah
berjaya meradikalisasikan kira-kira 240 tahanan, dengan kadar
kejayaannya kira-kira 97.5 peratus.
"Kami telah menggunakan pengetahuan luas kami dalam menangani
elemen-elemen subversif semasa perjuangan kami menentang komunis untuk
merumuskan program yang amat berkesan ini," katanya.
Ahmad Zahid berkata Deradikalisasi Bersepadu Pengganas telah dibangunkan
oleh Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara dan Polis Diraja
Malaysia.
"Kini ia digunakan oleh kami dalam proses meradikalisasi pengganas yang ditahan di Malaysia," katanya.
Ahmad Zahid berkata ini merupakan masa yang amat penting untuk kami
meningkatkan kerjasama dan persahabatan dengan Eropah dalam menangani
ancaman Daesh.
"Apa yang Asia dan Eropah telah lakukan setakat ini hanya membabitkan
usaha penegahan tetapi masih belum membuahkan hasil dalam menentukan
punca keganasan," katanya.
Menjawab soalan daripada audien mengenai bila dan bagaimana ancaman
Daesh dapat ditangani, Ahmad Zahid menjawab: "Fahami orang Islam (kerana
Daesh sentiasa dikaitkan dengan orang Islam.
"Kita perlu terlebih dahulu cari puncanya kenapa keganasan berlaku. Kenapa wujud Islamofobia.
"Islam menggalakkan keamanan. Apa-apa sahaja yang menentangnya
(keamanan), ia bukan cara Islam," katanya sambil membacakan ayat khusus
dalam al-Quran mengenai 'keamanan'.
Ahmad Zahid turut memberikan contoh Singapura yang melayani rakyat
beragama Islam dengan baik walaupun ia bukan sebuah negara Islam.
"Contohnya, kerajaan Singapura menjaga dengan baik masjid-masjid di negara ini," katanya.
Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana dan
rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama juga hidup
bersama-sama dalam keadaan aman dan harmoni.
-BERNAMA