Pusat Memerangi Mesej Malaysia Bertindak Balas Ke Atas Kegiatan Ekstremisme Dan Radikal - Zahid
LONDON - Malaysia bergerak ke hadapan bagi bertindak
balas berhubung kisah pengganas dan ekstremisme terutama di alam siber
melalui penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui
Komunikasi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Beliau berkata usaha itu adalah sebahagian daripada pendekatan strategik
bagi bertindak balas ke atas golongan pelampau kerana menyedari
pengganas memang cekap mereka cerita dan retorik untuk mempengaruhi
pengguna media sosial.
"Cerita-cerita ini telah membanjiri alam siber dan mempengaruhi pengguna
media sosial untuk percaya bahawa cerita-cerita itu adalah benar, dan
pengganas itu berjuang atas nama agama," katanya dalam ucapan alu-aluan
dalam Perbincangan Meja Bulat di Chatham House di sini.
Ucapannya yang bertajuk "Faham Ketenteraan dan Antikeganasan: Satu
Perspektif Malaysia", Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata
kisah mengenai Islam perlu diceritakan semula bagi menyampaikan mesej
jelas bahawa pengganas adalah golongan kufur kerana ideologi agama
mereka yang diputar belit dan tindakan-tindakan itu membawa kepada
kehilangan nyawa orang yang tidak berdosa.
Timbalan Perdana Menteri berkata Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej
itu adalah bagi menyelaras usaha untuk bertindak balas terhadap mesej
media sosial yang radikal dan mengemukakan imej Islam sebenar di dalam
dan di luar ASEAN.
Ahmad Zahid berkata pusat yang dikendalikan Polis Malaysia sejak
September 2016 itu menggunakan kajian yang menggambarkan bahawa
perjuangan kumpulan militan Daesh itu bertentangan dengan
prinsip-prinsip Islam.
Katanya radikalisme akan terus menjadi kebimbangan utama kepada
agensi-agensi keselamatan di seluruh dunia dan ia akan kekal sebagai
satu daripada ancaman yang kuat terutama melalui penggunaan meluas
internet sebagai alat bagi penyebaran ekstremisme yang ganas dan
propaganda radikal.
Para penjenayah dan pengganas kini menggunakan platform komunikasi
baharu melalui rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter,
YouTube, e-mel dan malah melalui telefon pintar dalam WhatsApp dan
Telegram sebagai satu jalan untuk mengindoktrinasi dan menyebarkan mesej
kebencian yang diputar belit, katanya.
Malaysia percaya strategi penting untuk menangani golongan pelampau
Islam yang ganas adalah dengan menyingkirkan usaha memutar belit dan
penipuan tentang agama," katanya sambil menambah Malaysia mempunyai
sejarah panjang yang menekankan mengenai kesederhanaan melalui amalan
wassatiyah, satu perintah dalam al-Quran.
Timbalan Perdana Menteri berkata strategi deradikalisasi Malaysia
memerlukan kerjasama strategik di antara kerajaan, pertubuhan awam,
sektor swasta, masyarakat tempatan dan masyarakat keseluruhan bagi
menghalang individu atau kumpulan daripada terbabit dalam kegiatan
pelampau dan radikal di tanah air atau di seberang laut.
Katanya Malaysia juga bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa
yang lain dalam usaha dan pelaksanaan strategi deradikalisasinya.
-BERNAMA