Perhimpunan 4 Dis Tanda Prihatin Terhadap Nasib Rohingya - TPM Zahid
KUALA LUMPUR - Satu perhimpunan besar-besaran
dirancang diadakan 4 Dis depan bagi menzahirkan keprihatinan masyarakat
Malaysia berhubung isu Rohingya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perhimpunan akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak serta pemimpin lain seperti Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang.
Ahmad Zahid menggesa pemimpin parti lain seperti PKR dan Amanah supaya
menyertai perhimpunan itu yang lokasinya akan ditetapkan kelak.
"Kita ketepikan perbezaan politik dan sebagai umat Islam kita berkumpul
bersama-sama bagi menzahirkan rasa keprihatinan terhadap saudara Islam
kita di Myanmar," katanya.
Beliau berucap merasmikan majlis Malam Jalinan Kasih Suluh Budiman
anjuran Persatuan Alumni Suluh Budiman Universiti Pendidikan Sultan
Idris (UPSI) di sini malam ini.
Ahmad Zahid berkata dalam isu Rohingya, Malaysia telah melakukan
tindakan melebihi negara lain termasuk memberi anak-anak etnik Rohingya
yang lahir di negara ini rekod kelahiran supaya mereka boleh menjalankan
kegiatan menimba ilmu mengikut keperluan mereka.
"Tidak memperkecilkan negara lain, kita telah perlihatkan keprihatinan
yang mendalam terhadap isu Rohingya ini kerana sebagai umat Islam kita
akan rasa seperti cubit peha kiri peha kanan (turut) terasa, apatah lagi
jika mereka ditimpa kesusahan," katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat Malaysia menyumbang kepada tabung bagi membantu masyarakat Rohingya yang dianiaya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia akan menghantar nota
bantahan kepada kerajaan Myanmar bagi menuntut keprihatinannya berhubung
dakwaan penindasan terhadap masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine.
"Mesyuarat kabinet telah buat keputusan nota bantahan akan dihantar kepada kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.
"Menurut piagam yang ada memang kita tidak boleh mencampuri urusan
dalaman negara lain, tetapi kita mahu beritahu bahawa rakyat Malaysia
mahu kerajaan Myanmar mengambil langkah prihatin terhadap rakyat
Rohingya di Myanmar," katanya.
Mengenai desakan penarikan semula Hadiah Nobel Keamanan kepada ikon
demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, Ahmad Zahid berkata ia akan
dibincangkan pada pertemuan 4 Dis ini.
"Jika seseorang yang dianugerah hadiah itu tidak lagi boleh mengekalkan
keamanan, ia (pemberian) masih boleh dipertikaikan," kata beliau.
-BERNAMA