Malaysia Tidak Perlu Campur Tangan Pihak Luar - TPM Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Malaysia tidak perlu campur tangan pihak
luar untuk menentukan hala tuju politik negara ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata acuan politik negara ini sudah sesuai dengan situasi dan suasana politiknya.
"Malaysia tidak perlu mempunyai pembiayaan daripada luar yang boleh meminggirkan pemikiran utama rakyat secara keseluruhannya.
"Malaysia juga jangan seharusnya dipengaruhi dengan pembiayaan oleh
dana-dana luar yang sama ada kepada media dalam talian, organisasi,
badan bukan kerajaan (NGO) mahupun mana-mana individu," katanya pada
persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Ahmad Zahid menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam)
yang bangkit mencelah ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang
Perbekalan 2017 bagi kementeriannya.
Liang meminta penjelasan berhubung laporan media tentang sebuah badan
asing dipengerusikan jutawan George Soros yang didakwa membiayai
beberapa organisasi tempatan dalam programnya bagi mempengaruhi
keputusan pilihan raya umum akan datang.
Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata kerajaan komited untuk menyiasat
mana-mana organisasi, warta berita atau media yang disyaki memperoleh
sumber dana asing.
"Saya harap campur tangan pihak luar tidak seharusnya berlaku demi
kestabilan politik negara ini," katanya yang mengambil masa hampir empat
jam menggulung perbahasan bagi kementerian itu.
Dalam pencelahannya, Liang menyuarakan kebimbangannya tentang peranan
Soros yang mempunyai hubungan dengan syarikat rangkaian antarabangsa dan
pihak media asing yang melobi untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai
perdana menteri.
"Negara Cina telah beri amaran serius terhadap George Soros dan kita
harap ada tindakan tegas diambil bagi tujuan yang mendorong kepada
rampas kuasa," katanya.
Senada dengan Liang, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) pula
menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Kewangan menyiasat jumlah
kedudukan kewangan yang disalurkan Soros ke negara ini.
"Saya setuju mengenai berita yang keluar di akhbar utama masa mantan
perdana menteri, Tun Mahathir (Mohamad) yang sangat memerangi George
Soros dan sekat beberapa perkara yang memberi dana yang cukup banyak
termasuk Merdeka Centre, Malaysiakini dan membiayai sebahagian daripada
organisasi yang hendak menjatuhkan kerajaan sedia ada," katanya.
Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) turut berpandangan tindakan segera
perlu diambil sekiranya terdapat bukti ada pembiayaan dana yang boleh
mengancam kedaulatan negara.
"Kalau ada bukti ambil tindakan, tak perlu bising melalui media," kata Idris.
-BERNAMA