Malaysia Tekad Capai Tahap Satu Senarai Pemantauan AS
LONDON - Malaysia sedang menggiatkan usaha
meningkatkan bilangan pertuduhan dan sabitan dalam kes pemerdagangan
manusia atau perhambaan moden melalui kerjasama dengan Polis
Antarabangsa (Interpol), Polis Nasional ASEAN (ASEANAPOL) dan pertukaran
maklumat perisikan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan
bahawa langkah ini selaras dengan tekad untuk memperbaiki kedudukan
negara dari Tahap Dua ke Tahap Satu dalam senarai pemantauan Jabatan
Negara Amerika Syarikat (AS).
"Kita telah mencapai Tahap Dua selama dua tahun berturut-turut,
menjelang tahun 2020 kita nak mencapai Tahap Satu," katanya pada sidang
media dengan wartawan Malaysia, di sini Isnin.
Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi Malaysa di United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.
Ahmad Zahid, yang berada di sini bagi lawatan kerja lima hari berkata
beliau akan turut membincangkan mengenai isu ini dalam pertemuannya
dengan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri United Kingdom, Amber Rudd,
yang dijadualkan Rabu.
Peningkatan Malaysia ke Tahap Satu boleh mempercepatkan kelulusan
permohonan Malaysia untuk pengecualian visa dari AS untuk rakyat
Malaysia ke negara itu.
Timbalan perdana menteri berkata Malaysia sebelum ini berdepan masalah
untuk meningkatkan bilangan mereka yang dihadapkan ke pengadilan kerana
tidak ramai yang boleh menjadi saksi untuk memperkukuhkan bukti bagi
sabitan.
"Masalah yang dihadapi pihak pendakwa raya dalam menangani kes-kes
pemerdagangan manusia ialah mendapat saksi penting hadir di mahkamah.
"Ini berkait rapat dengan kewujudan jaringan sindiket pemerdangan manusia global," katanya.
Ahmad Zahid berkata pada masa ini pihak AS mendapati walaupun tangkapan
Malaysia terhadap pesalah yang terbabit dengan kegiatan ini telah
meningkat kepada lebih 100 orang, namun bilangan mereka yang dituduh dan
disabitkan di mahkamah masih kecil.
Justeru, katanya, Malaysia dianggap sebagai tidak begitu serius untuk menangani perkara ini.
Oleh itu, katanya, perbincangan telah dibuat dengan pihak Pejabat Peguam
Negara bagi mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan bilangan
pendakwaan dan sabitan terhadap mereka yang terbabit dalam kes isu
pemerdagangan manusia.
Beliau berkata, pada masa ini, lebih 30 orang telah didakwa di mahkamah
dan lebih 50 orang lagi dijangka dihadapkan ke muka pengadilan tahun
depan termasuk 10 orang yang akan diektradisi dari Thailand, kerana
terlibat dalam kes pengebumian beramai-ramai mangsa pemerdagangan
manusia di Wang Kelian, Perlis, pertengahan tahun lepas.
Ahmad Zahid berkata United Kingdom dan Malaysia mempunyai kepentingan
bersama dalam isu pemerdangan manusia yang juga diistilahkan sebagai
perhambaan moden.
Ini jelas semasa beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri
Britain, Theresa May semasa di Perhimpunan Agung Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu di New York baru-baru ini.
Usaha lebih menyeluruh, katanya, harus dilakukan bagi menangani isu itu
terutamanya apabila beberapa usaha yang dijalankan oleh Suruhanjaya
Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) bagi menangani masalah ini
menemui jalan buntu.
Isu perhambaan moden ini, katanya, adalah penting bukan sahaja di Eropah
malah di rantau ASEAN terutamanya Malaysia yang menjadi antara tumpuan
pekerja asing untuk mencari mencari peluang kerja.
Ahmad Zahid memulakan lawatan dengan mengadakan pertemuan dan
perbincangan dengan pihak Digital Barriers hari ini, sebuah syarikat
peneraju pasaran peralatan dan perisian keselamatan serta risikan
global.
Beliau kemudian melawat Penjara Belmarsh di sini dan akan menghadiri jamuan malam bersama peneraju industri United Kingdom.
-BERNAMA