Lawatan Duterte Ke Malaysia Buka Lembaran Baharu Penyelesaian Masalah Mindanao Dan Sabah
LONDON - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi berkata lawatan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte ke
Malaysia minggu ini akan membuka lembaran baharu terhadap usaha Malaysia
untuk terus membantu dalam penyelesaian masalah di Mindanao serta
masalah kebanjiran rakyat Filipina di Sabah dan isu-isu keselamatan yang
berkaitan.
Peranan Malaysia sebagai pihak ketiga dalam mencari penyelesaian
terhadap masalah di kawasan Selatan Filipina, khususnya di Mindanao itu
penting katanya kerana apa yang diusahakan oleh fasilitator Malaysia,
Allahyarham Tengku Datuk Abdul Ghafar Tengku Mohamed telah diterima oleh
kepimpinan Filipina yang lalu mamun ia belum dapat dilaksanakan secara
konklusif.
"Jadi lawatan Presiden Duterte ke Malaysia dalam pertemuan dengan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Khamis ini akan
merupakan suatu usaha yang dibuat bagi menentukan bahawa Suruhanjaya
Peralihan Bangsamoro atau BTC akan dapat dilaksanakan," katanya kepada
wartawan Malaysia di sini.
Ahmad Zahid yand sedang dalam rangka lawatan kerja selama lima hari ke
United Kingdom mulai Isnin, berkata Malaysia yang diwakili oleh Najib
dan beliau sendiri yang pada ketika itu selaku Menteri Pertahanan, telah
menyaksikan penandatanganan Rang Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL).
"Dalam lawatan kali ini, kita melihat prospek amat cerah bagi Malaysia
terus memainkan peranan ini dan kita merasakan tentunya pihak Filipina
di bawah kepimpinan baru ini akan lebih terbuka untuk melibatkan juga
beberapa pihak lain di Filipina," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berharap perjanjian yang telah ditandatangani
bersama-sama oleh kerajaan Filipina dengan Haji Murad Ebrahim selaku
Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) itu, pada kali ini akan
melibatkan beberapa pihak lain termasuk kumpulan minoriti di selatan
Filipina bagi menyelesaikan masalah kebanjiran rakyat Filipina tidak
berdokumen, yang berada di Sabah.
"Secara tidak langsung ini akan dapat menyelesaikan permasalahan yang
dicadangkan di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)," katanya.
Ahmad Zahid berkata dari segi pelaksanaan syor itu, sebuah jawatankuasa
induk yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri
Musa Aman dan beliau sendiri serta jawatankuasa pelaksanaan diterajui
oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, akan
dapat menyelesaikan tugas-tugas yang di cadangkan oleh RCI.
"Saya yakin lawatan ini akan menyelesaikan beberapa permasalahan yang
selama ini tidak dapat diselesaikan, di samping masalah keselamatan di
sekitar Esszone (Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah) yang berada sekitar
1,700 km panjangnya pantai yang menjadi tanggungjawab kepada Esscom
(Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah), terutamanya kes-kes
penculikan untuk wang tebusan yang berlaku di situ.
"Tentunya dalam lawatan ini beberapa persoalan diplomatik yang
melibatkan Sabah khususnya akan dapat dibincangkan dan saya melihat
Presiden Duterte mempunyai pandangan yang amat proaktif bagi mencari
beberapa jalan penyelesaian permasalahan yang telah berlaku begitu lama
antara Malaysia dan Filipina," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia berpandangan bahawa
kemakmuran di kawasan selatan Filipina itu boleh menyelesaikan
permasalahan yang menjadi isu politik dan isu sosio-ekonomi di kawasan
berkenaan dan di Sabah.
-BERNAMA