KDN Teliti Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Kaukus Parlimen Tangani Judi
KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang
meneliti cadangan penubuhan Jawatankuasa Kaukus Parlimen menangani
perjudian bagi menyelesaikan masalah itu secara menyeluruh terutama
perjudian secara digital.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga
Menteri Dalam Negeri berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat untuk
dijadikan terma rujukan sekiranya kaukus itu dilaksanakan kelak.
"KDN memandang positif cadangan ini kerana kaukus ini melibatkan
penyertaan semua pihak merentasi perbezaan ideologi politik, agama dan
budaya dan saya ucapkan terima kasih kepada semua anggota Parlimen (yang
membuat cadangan) untuk bersama-sama mengatasi masalah perjudian,"
katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2017 bagi KDN
di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kementerian komited membendung aktiviti perjudian yang
kini boleh dilakukan melalui telefon bimbit, tabloid, komputer riba dan
desktop.
Katanya antara modus operandi yang digunakan oleh sindiket perjudian
bagi mencari pelanggan baharu adalah dengan mempromosikan perjudian
melalui media sosial dan ia dikesan sejak tahun lalu.
"Kita juga telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) dan telah menggunakan peranti khas atau
special device yang dikenali sebagai 'box SMS Frequency spice' yang
boleh mengesan nombor telefon yang menghantar 30,000 SMS dalam tempoh
satu jam pada jarak sejauh 2km," katanya.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang mengumpul maklumat
mengenai penglibatan pihak tertentu yang menjual data kepada pihak
sindiket selain bekerjasama dengan SKMM dan syarikat telekomunikasi
(Telco) bagi menyekat laman web dan talian telefon yang mempunyai
jaringan dengan kasino dan aplikasi menerusi telefon bimbit.
"PDRM juga mengadakan siri perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT), Jabatan Peguam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),
Jabatan Air negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa agensi
pengkuatkuasaan untuk meminda undang-undang selain tindakan lain yang
bersesuaian dengan kaedah yang dilakukan," katanya.
Katanya ia termasuk untuk meminda Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang
memerlukan sokongan semua anggota Parlimen selain pendekatan kerohanian
menerusi kempen kesedaran membendung masalah judi.
Mengenai pusat perjudian haram yang berselindung disebalik lesen pusat
hiburan keluarga, Ahmad Zahid berkata KDN tidak pernah mengeluarkan
mana-mana lesen perjudian kerana ia dikeluarkan oleh PBT.
Mengulas lanjut, beliau berkata PBT dan kerajaan negeri khususnya
Selangor dan Sarawak turut digesa menghentikan pengeluaran lesen baharu
bagi mengelak munculnya lebih banyak pusat perjudian haram yang
berlindung di sebalik nama pusat hiburan keluarga
Menjawab soalan Alice Lau Kiong (DAP-Lanang) tentang operasi Balai Polis
Lanang, Sarawak ditutup pada waktu malam, Ahmad Zahid berkata ia bagi
menjaga keselamatan anggota polis daripada ancaman pengganas termasuk
Daesh.
"Dalam berek berkenaan ada stor penyimpanan senjata, jika buka, khuatir
kerana ada dua peristiwa pengganas mencuri senjata seperti di Perak dan
Lahad Datu, Sabah," katanya.
-BERNAMA