Bersih Dan Kumpulan Baju Merah Tidak Berdaftar Di Bawah Akta Pertubuhan
PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari
ini mengesahkan bahawa Bersih dan kumpulan Baju Merah tidak berdaftar
di bawah Akta Pertubuhan 1996, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata keputusan Ketua
Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah adalah kedua-dua kumpulan
berkenaan harus didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan untuk digazetkan
sebagai pertubuhan.
Katanya memandangkan Bersih dan Kumpulan Baju Merah tidak berdaftar di
bawah Akta Pertubuhan, maka aktiviti anjuran mereka diharamkan.
"Sebagaimana saya putuskan di Dewan Rakyat semalam, penganjur
perhimpunan Bersih 5.0 dan kumpulan Baju Merah tidak dibenarkan
mengadakan sebarang perhimpunan.
"Ini adalah arahan rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan
penguatkuasaan akan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi KDN
2016 di sini hari ini.
Perhimpunan kumpulan Baju Merah dirancang Sabtu ini di Dataran Merdeka manakala perhimpunan Bersih 5.0 pada 19 Nov.
Ahmad Zahid berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut mengeluarkan
surat rasmi tidak mengizinkan kedua-dua kumpulan itu menggunakan Dataran
Merdeka sebagai tempat perhimpunan.
"Keputusan DBKL adalah muktamad. Oleh yang demikian, keputusan pihak
polis adalah selari dengan DBKL dan segala arahan hendaklah dipatuhi
sepenuhnya," tegas beliau.
Sementara itu, Mohammad Razin menjelaskan sekiranya Bersih dan kumpulan
Baju Merah tidak berdaftar dengan ROS, maka ROS boleh mengenakan
tindakan undang-undang di bawah Akta Pertubuhan.
"Difahamkan pihak Bersih didaftarkan di bawah Akta Syarikat di bawah
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan SSM akan mengambil tindakan
penguatkuasaan," katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya mengarahkan semua
agensi dan jabatan di bawah KDN bersiap siaga ke tahap optimum
menghadapi musim banjir tahun ini.
"Bencana seperti banjir mungkin tidak boleh dielakkan kerana ia
ketentuan Tuhan, tetapi kita boleh berusaha bagi memastikan ia dihadapi
dengan cara terbaik,"katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji anggota dan pegawai penguatkuasaan
yang sanggup meninggalkan keluarga yang turut terlibat dalam banjir,
bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang lain.
-BERNAMA