Bekas Puteri Disaran Terus Sumbang Bakti Pada Masyarakat - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu bekas anggota Puteri UMNO terus menyumbang
bakti kepada rakyat, walaupun tidak lagi berada atau memegang sebarang
jawatan dalam pergerakan itu.
Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas timbalan presiden itu
berkata, mereka tidak seharusnya rasa terpinggir, sebaliknya perlu terus
menggunakan pengalaman yang diperoleh untuk terus membantu masyarakat.
"Saya yakin kepopularitian (bekas anggota) masih dapat dirasakan (oleh
masyarakat) di bawah sana.(Jadi) bangkitlah, bangun semula, ketepikan
rasa kecil hati, keterpinggiran, dan ketersampingan.
"Kerana jiwa kita tetap utuh, perkasa, darah kita tetap darah kental
UMNO, di jiwa kita tetap kekal membara semangat UMNO," katanya ketika
merasmikan Majlis Pink Reunion Hi-Tea 2016 anjuran Pergerakan Puteri
UMNO, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata perkara itu juga akan memudahkan Presiden parti
(Datuk Seri Najib Tun Razak) membuat pertimbangan dalam memilih mereka
sebagai calon pilihan raya umum akan datang.
Turut hadir Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin, serta
bekas-bekas ketua pergerakan sayap itu iaitu Datuk Rosnah Abdul Majid
Shirlin dan Datuk Seri Dr Azalina Othman Said.
Ahmad Zahid turut menggesa anggota Puteri untuk tidak meminggirkan
mereka yang telah 'menyeberang' ke parti lawan, sebaliknya menggunakan
pendekatan bijaksana untuk menarik mereka semula ke dalam parti.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau amat bersetuju dengan
cadangan Mas Ermieyati yang mahu menubuhkan sebuah koperasi bagi
menaungi bekas anggota Puteri UMNO.
Beliau berkata cadangan berkenaan amat sesuai sebagai tapak bagi bekas
anggota sayap parti itu untuk terus menyumbang kepada perjuangan parti.
"Insya-Allah jika tertubuh koperasi, jika saya masih ada kesempatan,
maka kita juga akan bantu dengan jumlah sepatutnya sebagai modal awal
koperasi.
"Bukan hanya pulangan pelaburan yang harus kita harapkan, tetapi
kebersamaan kita dalam setiap mesyuarat agung itu menjadi pentas
platform kita berkumpul," katanya.
Dalam merealisasikan penubuhan koperasi itu, Ahmad Zahid turut
mencadangkan supaya setiap bekas anggota sayap itu dijadikan pemegang
saham koperasi itu secara automatik.
-BERNAMA