Tidak Kompromi Dengan Pertubuhan Ancam Keharmonian Masyarakat - TPM
KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak
akan berkompromi dengan pertubuhan yang bergerak atas platform badan
bukan kerajaan (NGO) tetapi operasinya menjurus ke arah kegiatan kongsi
gelap serta mengancam keharmonian masyarakat negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata KDN
sentiasa memantau dan mengawal selia semua pertubuhan berdaftar atau
tidak berdaftar yang operasinya terjerumus kepada hal yang tidak
tercatat dalam pelembagaan pertubuhan berkenaan.
"Ini bertujuan mengelak permasalahan jenayah, perkara-perkara melibatkan
ketenteraman awam dan kebencian agama kerana menjadi keutamaan pihak
kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat," katanya menjawab soalan
Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) pada persidangan Dewan Rakyat
hari ini.
Hasan ingin tahu langkah yang diambil KDN dalam mengawal selia pertubuhan yang menjurus ke arah kegiatan kongsi gelap.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebanyak 23 kumpulan
yang dianggap kongsi gelap dikenal pasti pada tahun lepas dan telah
diwartakan sebagai pertubuhan yang melanggar undang-undang.
"Apa yang kita lakukan, kita benteras pertubuhan berkenaan melalui kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan polis," katanya.
Menjawab soalan tambahan Hasan berhubung pertubuhan seumpama itu yang
dinaungi 'orang besar', Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa akan
mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang.
"Walaupun ada di kalangan kita yang berada di dalam Dewan yang mulia ini
yang menjadi penaung kepada pertubuhan-pertubuhan itu, terimalah akibat
mengikut undang-undang," katanya.
-BERNAMA