Siasat Dakwaan George Soros Biaya Bersih - TPM Zahid
KUALA LUMPUR - Maklumat yang mendakwa hartawan
George Soros membiayai Bersih, Merdeka Center dan Malaysiakini perlu
disiasat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ia harus disiasat
secara emperikal, iaitu berdasarkan pemerhatian dan ujian saintifik.
"Soalnya bukan "siapa" dibiayai dan "kenapa". Apa yang harus ditanya ialah penglibatan pihak luar terhadap politik negara.
"Ini kerana politik Malaysia mengikut acuan yang sesuai dengan politik
negara kita. Tidak perlulah, jika benar melibatkan pihak luar apatah
lagi pembiayaan aktiviti politik sama ada menentang atau menyokong
mana-mana organisasi atau individu," katanya kepada pemberita pada
pelancaran buku bertajuk 'Being Abdullah Badawi', di sini hari ini.
Menurut laporan media hari ini, satu kumpulan asing dipengerusikan
jutawan George Soros membiayai beberapa organisasi tempatan dalam
programnya mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.
Ditanya mengenai gesaan beberapa pemimpin tempatan supaya siasatan
dijalankan ke atas organisasi yang terlibat, Ahmad Zahid berkata ia akan
dilakukan sekiranya terdapat laporan polis.
"Biar laporan polis dilakukan. Kita juga akan lakukan tindakan sebagai
mana saranan itu. Kita tidak tertakluk pada sebarang spekulasi atau
saranan," katanya.
-BERNAMA