Program Amal Bantu Pesakit Kanser Wajar Disokong - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi mahu masyarakat di negara ini menyokong sebarang
program amal bertujuan mengumpul dana bagi membantu pesakit kanser.
Beliau menarik perhatian bahawa kanser boleh menjadi penyebab utama
masalah kewangan disebabkan rawatan yang sangat mahal selain menjejaskan
keupayaan pesakit untuk bekerja.
"Masalah kewangan boleh menyebabkan kesan buruk kepada pesakit kanser
apabila ia menjejaskan corak rawatan," katanya ketika merasmikan Malam
Amal Bingkisan Kaseh Kanser OKB anjuran Yayasan Kanser Malaysia dan
Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di sini malam ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Ahmad Zahid berkata beban kewangan akan lebih terasa dalam kalangan
kumpulan sosio-ekonomi kurang beruntung dengan jaringan keselamatan
sosial terhad.
"Saya menggesa setiap anggota masyarakat, agensi kerajaan, pihak swasta
dan badan bukan kerajaan berganding bahu untuk terus membantu Yayasan
Kanser Malaysia dan POKB dalam meringankan beban yang ditanggung pesakit
kanser," kata timbalan perdana menteri.
Dalam video klip khas memuatkan bingkisan bicara Ahmad Zahid kepada
hadirin yang ditayangkan pada majlis itu, beliau antara lain mahu
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memainkan peranan dalam
menyebarluaskan maklumat mengenai penyakit kanser kepada orang ramai.
"Usaha menyalurkan pengetahuan mencukupi mengenai kanser adalah kunci
utama untuk membantu pesakit. KKMM perlu mainkan peranan sebar
maklumat," kata timbalan perdana menteri.
Ahmad Zahid seterusnya berkata acara yang dianjurkan itu dilihat
sebagai suatu platform terbaik dalam membantu pesakit kanser di seluruh
negara melalui dana yang disalurkan ke Tabung Kaseh Kanser.
Berkongsi fakta mengenai kanser, beliau berkata kanser menjadi antara
penyakit utama yang membawa maut dengan jangkaan peningkatan 54 peratus
bagi kes baharu menjelang 2015 sekiranya tidak ditangani.
"Di negara kita pula, 13.01 peratus kematian di hospital kerajaan dan
25.53 peratus di hospital swasta adalah disebabkan kanser," katanya.
-BERNAMA