Peruntukan Besar Sekolah Agama Terjemahan Komitmen Kerajaan Jaga Islam - Ahmad Zahid
ALOR GAJAH - Peruntukan besar untuk sekolah agama,
tahfiz dan pondok dalam Bajet 2017 merupakan terjemahan komitmen Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan menjaga agama Islam di
negara ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata Islam sebagai agama yang progresif
perlu dijaga, disuburkan dan dimajukan seterusnya dijadikan suatu cara
hidup lengkap untuk masyarakat di negara ini, namun dalam masa yang sama
tidak mengetepikan agama lain.
"Kita cari jalan maju ke hadapan dalam majukan Islam tetapi agama lain
perlu kita hormati, dalam usaha supaya agama kita dihormati kita perlu
menghormati agama yang lain.
"Tetapi dalam masa sama, saya risau jika umat Islam tidak bersatu bagai
buih di lautan, (Islam) akan hilang akibat ombak melanda, perbezaan
pendapat dibolehkan tetapi ada tertibnya, hormat pendapat orang lain,
amalkan lemah lembut dan bijaksana walau berbeza pendapat," katanya di
sini Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Hafaz Aqso,
Tingkatan 5 dan Program Khas Asasi Ulul Albab 2016 Sekolah Menengah
Imtiaz Ulul Albab di Masjid Tanah di sini.
Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil
Yaakob yang menyaksikan kumpulan pertama sekolah itu seramai 62 pelajar
menerima sijil graduasi mereka.
Dalam Bajet 2017 yang dibentang Najib pada 21 Okt lepas, sebanyak RM30
juta diperuntukkan kepada sekolah tahfiz bagi melahirkan lebih ramai
generasi Islam hebat, manakala sekolah agama bantuan kerajaan dan
sekolah pondok berdaftar masing-masing diberi RM50 juta bagi
penambahbaikkan dan penyelengaraan sekolah.
Ahmad Zahid berkata umat Islam perlu mengambil iktibar terhadap
perpecahan yang terjadi di negara seperti Syria dan Yaman serta kejadian
'Arab Spring' bagi memastikan perpecahan itu tidak terjadi terutama di
rantau nusantara ini.
Beliau berkata daripada 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia, 350 juta
berada di rantau nusantara, justeru rantau ini merupakan tempat paling
sesuai menjadi tempat kebangkitan semula Islam.
"Saya teringat hadis menyebut kebangkitan semula Islam tidak akan
bermula di tanah Arab, disebutkan (dalam hadis) akan bangkit di timur
jauh, dalam konteks ini nusantara mampu menjadi tempat itu.
"Justeru bumi Malaysia insya-Allah jadi tapak kebangkitan semula Islam.
Malaysia menjadi antara negara Islam termaju yang menjadi rujukan kerana
mampu membangun Islam secara progresif dan kesederhanaan di bawah
masyarakat majmuk berbilang latar belakang," katanya.
-BERNAMA