M'sia Kongsi Pengalaman Dengan Arab Saudi Laksana Program Deradikalisasi - TPM
RIYADH - Malaysia sedia berkongsi pengalaman dan
mencontohi Arab Saudi berkaitan pelaksanaan program deradikalisasi dalam
usaha memerangi keganasan serta proses pemulihan terhadap golongan
ekstremis, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata perkara itu akan dibincangkan dengan
lebih terperinci dengan pihak berkaitan di negara itu, bersempena
lawatan rasminya ke negara berkenaan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Malaysia boleh
memanfaatkan pengalaman Arab Saudi dalam melaksanakan program
deradikalisasi berikutan kedudukan negara itu berhampiran dengan
negara-negara yang sering dikaitkan dengan keganasan dan militan.
"Saya akan belajar dan berkongsi pengalaman dalam soal program
deradikalisasi terhadap masalah keganasan dalam kalangan negara-negara
sumber dan negara-negara di Asia Barat (yang sering dikaitkan dengan
keganasan dan militan).
"Pengalaman Malaysia boleh dikongsi, dan kita juga mungkin mendapatkan
pengalaman (daripada Arab Saudi) bagaimana soal pemulihan dapat
dilakukan dalam program deradikalisasi.
"Insya-Allah saya akan berbincang dengan lebih mendalam dengan pihak
berwajib di negara ini," katanya kepada wartawan Malaysia sebaik tiba di
sini, Rabu malam, bagi lawatan rasmi lima hari di Arab Saudi.
Timbalan perdana menteri dijadual melawat Pusat Kaunseling dan Penjagaan Mohammad Bin Naif di sini, Khamis.
Ahmad Zahid dijangka diberi taklimat berhubung inisiatif Arab Saudi
dalam memerangi keganasan dan program deradikalisasi bagi golongan
ekstremis semasa melawat pusat berkenaan.
-BERNAMA-