Model Perpaduan Malaysia Jamin Hak Semua Kaum - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Malaysia adalah model perpaduan yang
menjamin hak masyarakat majmuk secara adil dan seimbang serta dijamin
dalam Perlembagaan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, katanya kaum-kaum minoriti di negara ini tidak harus
berasa terancam untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing serta
tidak perlu khuatir akan kehilangan identiti mereka.
"Sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, saya
percaya perbedaan agama, bahasa dan warna kulit telah menjadikan kita
satu masyarakat yang kaya dengan pelbagai budaya.
"Perbedaan ini juga telah menjadi kekuatan, bukan kelemahan dalam
pembentukan bangsa Malaysia, 'unity in diversity' (perpaduan dalam
kepelbagaian)," katanya dalam rakaman video perutusan sempena Deepavali
2016 yang dimuat naik di laman Facebook dan Twitter beliau.
Sempena perayaan itu, Ahmad Zahid mengajak semua rakyat Malaysia untuk
sama-sama mengeratkan persaudaraan dan hubungan antara kaum yang menjadi
tulang belakang pembangunan negara.
Beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak menjadikan medium media
sosial sebagai sandaran yang boleh meleraikan tali perpaduan antara
masyarakat.
"Akhir kata saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali 2016 kepada
seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada mereka yang beragama Hindu,"
katanya.
-BERNAMA