Malaysia Masih Mampu Bentang Belanjawan Terbaik Walaupun Ekonomi Dunia Tidak Menentu - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Malaysia masih mampu membentangkan
belanjawan yang terbaik untuk rakyat walaupun dalam keadaan ekonomi
dunia yang tidak menentu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini mengambil
kira agihan kepada semua golongan dan sektor.
"Saya mewakili pihak jemaah menteri mengucapkan tahniah atas belanjawan
yang cukup berpijak di bumi yang nyata walaupun kita tahu kehilangan
pendapatan daripada sumber-sumber yang berasaskan kepada petroleum.
"Namun, apa yang telah dibentangkan memperlihatkan bahawa kita masih
mampu memberikan agihan yang sepatutnya kepada semua pihak," katanya
kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat di
sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut melahirkan ucapan
terima kasih kerana sektor keselamatan tetap diberikan keutamaan dengan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh jumlah peruntukan yang besar.
Katanya peruntukan berjumlah RM80 juta bagi membekalkan pakaian seragam
kepada anggota RELA juga menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri untuk
melihat anggota sukarelawan itu berada di seluruh pelosok negara bagi
membantu agensi keselamatan dan penguatkuasaan menjaga keamanan negara.
Sejumlah RM12.8 bilion diperuntukkan bagi Kementerian Dalam Negeri, termasuk RM8.7 bilion kepada PDRM dalam Bajet 2017.
Mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk memajukan negara dalam
tempoh tiga dekad, Ahmad Zahid berkata beliau memberikan dokongan yang
penuh terhadap pengenalan transformasi itu kerana ia penting dalam
memastikan generasi akan datang bersama kerajaan membentuk hala tuju
negara.
"Pada tahun 2057, negara kita akan berada di ambang 100 tahun
kemerdekaan, tentunya transformasi nasional yang baru ini amat
diperlukan supaya generasi Y yang ada serta generasi Z, dan generasi
alfa yang akan muncul, mempunyai saham bersama membentuk negara,"
katanya.
Ditanya mengenai bajet kepada Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid
menegaskan ia bukanlah peruntukan kepada Pejabat Perdana Menteri,
sebaliknya ia melibatkan 90 agensi di bawah jabatan itu.
-BERNAMA