Malaysia Harap Hubungan Dengan Thailand Terus Dipertingkat - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Malaysia berharap hubungan baik dengan
Thailand sepanjang negara itu berada di bawah pemerintahan Raja
Bhumibol Adulyadej, terus dipelihara dan dipertingkat walaupun selepas
kemangkatan baginda.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
hubungan baik itu bukan hanya membabitkan hubungan diplomatik dan
perdagangan tetapi juga dalam soal keselamatan di sempadan kedua-dua
negara berjiran.
Katanya, selama 70 tahun berada di takhta, Raja Bhumibol yang mangkat
pada 13 Okt lalu, telah menunjukkan keprihatinan baginda terhadap
hubungan kedua-dua negara dan sentiasa mempertahankannya.
"Dengan kemangkatan baginda, rakyat Malaysia mengharapkan hubungan
dapat diteruskan terutama dalam program-program keselamatan, antara
Polis Diraja Malaysia dan Polis Thailand serta angkatan tentera
kedua-dua negara yang sedia rapat," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada
pemberita selepas menandatangani Buku Takziah sebagai penghormatan
terhadap Raja Bhumibol, di kediaman Duta Besar Thailand di Malaysia
Damrong Kraikruan di Jalan Ampang di sini. Beliau turut merakamkan rasa
simpati dan takziah kepada Damrong.
Timbalan perdana menteri yang turut merakamkan rasa simpati kepada
rakyat Thailand atas kemangkatan raja yang disayangi mereka, berharap
mereka terus menjaga negara mereka dengan sebaik-baiknya demi keutuhan
dan kestabilan bukan hanya di Thailand tetapi juga rantau ini.
Terdahulu, ketibaan Ahmad Zahid ke kediaman duta besar Thailand itu
pada kira-kira 12.45 tengah hari disambut Damrong dan isterinya Suwanna
Phukphat serta kakitangan kedutaan. Turut hadir Timbalan Menteri Luar
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Raja Bhumibol, yang memerintah Thailand selama 70 tahun selepas menaiki
takhta pada 1946, mangkat pada 3.52 petang 13 Okt lalu di Hospital
Siriraj, seperti diumumkan oleh Biro Kerabat Diraja Thailand.
Baginda berusia 89 tahun.
-BERNAMA