Kerajaan Komited Majukan Masyarakat India Di Malaysia - TPM Zahid
BAGAN DATOH - Kerajaan komited menghapuskan
kemiskinan dalam kalangan masyarakat India termasuk menangani isu
keciciran pendidikan khususnya di peringkat sekolah menengah dalam usaha
memajukan komuniti itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam
usaha mencapai matlamat itu, kerajaan perlu mengekang mereka daripada
terjebak dengan gangsterisme.
"Dalam perbincangan yang diadakan sebelum ini, kita mahu masyarakat
India di negara ini mempunyai pekerjaan sekali gus mengelak daripada
aktiviti gangsterisme.
"Tidak ada bangsa yang mahu menjadi gangster. Selagi saya menjadi
Menteri Dalam Negeri, saya akan bekerja keras membanteras gangster
kerana kita mahu negara ini aman," katanya ketika berucap melancarkan
program Ethirkalam 'Victory for the Future' di Dewan Sanmarka Orang
India, Hutan Melintang di sini, hari ini.
Menurutnya kerajaan, pemimpin masyarakat India dan badan bukan kerajaan
(NGO) juga mempunyai pelbagai rancangan untuk menjaga kelangsungan
status sosial dan kebajikan komuniti India di negara ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta parti politik dan NGO yang mewakili
masyarakat India di negara bersatu supaya hak dan kebajikan kaum itu
terus dibela.
"Ketepikanlah sebarang perbezaan politik, agama, budaya, bangsa tidak
kiralah Telegu, Tamil, Malayalam ataupun Punjabi...bersatu padulah dalam
kehidupan dan harus mengetepikan semua perbezaan.
"Kita berada di bumi Malaysia, keturunan itu penting tetapi yang lebih
penting, kita adalah rakyat Malaysia yang taat setia di mana bumi
berpijak di situ langit dijunjung," katanya.
Ahmad Zahid berkata masyarakat India amat beruntung kerana kebajikan
mereka sentiasa menjadi keutamaan kerajaan termasuklah dalam Bajet 2017
yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Menerusi bajet itu, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
"Malah, Perdana Menteri turut memberikan peruntukan yang lebih besar
untuk pinjaman mikrokredit dan saya harap masyarakat India yang ada
bakat menjadi usahawan, gunakan ini untuk majukan diri dan keluarga,"
katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan bantuan RM100,000 kepada
Pusat Sri Murugan bagi melaksanakan aktiviti di SJKT Barathi dan SJKT
Tun Sambathan bagi tempoh dua tahun mulai tahun ini.
-BERNAMA