Zahid Mahu Proses Pembahagian Harta Pusaka Dipercepatkan
NILAI - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencadangkan agar agensi yang terlibat
dengan pengurusan dan pembahagian harta pusaka supaya berusaha
menyelesaikannya dalam tempoh kurang daripada tujuh hari waktu bekerja.
Katanya inisiatif itu boleh diusahakan bagi kes yang tiada
pertelingkahan waris, tidak melibatkan harta dengan nilai jutaan ringgit
dan mempunyai dokumen yang lengkap.
"Agensi berkenaan perlu mencari mekanisme terbaik untuk mencairkan
harta tersebut agar manfaatnya dapat dipulangkan kepada simati dan ahli
waris yang berhak atau pihak-pihak yang berkepentingan terhadap harta
tersebut," katanya pada perasmian Seminar Kebangsaan Transformasi Harta
Pusaka dan pelancaran E-Faraid di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum.
Ahmad Zahid berkata satu formula atau mekanisme perlu dibangunkan bagi
memudahkan masyarakat Islam berurusan dengan agensi-agensi yang terlibat
dengan pengurusan harta pusaka.
Turut hadir di majlis itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah
Malaysia (JKSM) Tan Sri Dr Ibrahim Lembut dan Naib Canselor Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Datuk Dr Musa Ahmad.
Ahmad Zahid berkara berhubung penyelarasan pengurusan, ia boleh
dicadangkan agar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menggabungkan
agensi-agensi tertentu atau melaksanakan Strategi Lautan Biru
Kebangsaan dengan agensi-agensi tertentu untuk mewujudkan satu pusat
sehenti bagi membantu mempercepatkan pengurusan kes harta pusaka orang
Islam.
Katanya mengikut rekod Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian melalui
Bahagian Pembahagian Pusaka, setakat Februari tahun ini, sebanyak RM60
bilion harta orang yang telah meninggal dunia belum dituntut atau yang
beku sejak Malaysia merdeka.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Jamil Khir berkata aplikasi
e-faraid yang dilancarkan hari ini mampu memendekkan tempoh pengeluaran
Sijil Perintah Faraid kepada satu jam berbanding sebelum ini yang
mengambil masa paling cepat tiga bulan.
Jamil Khir berkata di bawah aplikasi ini terdapat dua modul iaitu e-Faraid dan k-Faraid.
"Selain memudahkan pihak Mahkamah Syariah dalam mengendalikan urusan
pendaftaran sehingga pengeluaran perintah, aplikasi ini turut membantu
masyarakat awam belajar tentang ilmu faraid melalui modul k-faraid.
"Saya yakin dengan inovasi ini akan memberi impak yang memangkinkan
proses untuk penyelesaian pembahagian harta pusaka di kalangan umat
Islam," katanya.
Modul e-faraid merupakan sistem sokongan kepada para hakim dan pegawai
Mahkamah Syariah dalam pengurusan dan pengendalian kes-kes faraid secara
dalam talian.
Sementara itu, modul k-faraid pula menawarkan modul pembelajaran secara
interaktif yang boleh dilayari oleh semua pengguna di serata dunia
untuk mempelajari disiplin dalam ilmu faraid, hukum hakam dan susunan
ahli waris.
-BERNAMA