UMNO Perlukan Calon Yang Disenangi Pengundi Dan Boleh Menang PRU 14 - Ahmad Zahid
KANGAR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerlukan
calon yang disenangi rakyat dan boleh menang dalam pilihan raya umum
(PRU) akan datang.
Beliau berkata tindakan sesetengah anggota parti yang menolak calon
pilihan pucuk pimpinan dan menganggapnya sebagai orang luar harus
dibuang kerana ia sudah tidak relevan lagi dalam perkembangan politik
semasa.
"Memang dulu (berlaku dalam UMNO) walaupun orang tu dari Dewan Undangan
Negeri (DUN) lain dipilih bertanding di DUN lain, mereka dianggap orang
luar.
"Kali ini apabila kita pilih, tidak mau lagi ada rombongan datang dengan
bas nak tunjuk protes. Matlamat kita adalah menang dan jadi kerajaan.
Lama menjadi pemimpin sahaja tidak ada makna," katanya semasa berucap
merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Kangar di sini, hari
ini.
Beliau berkata matlamat UMNO untuk terus memerintah negara tidak mungkin
tercapai jika masih ada anggota atau bekas anggota yang terus menyimpan
dendam terhadap pemimpin dan kerajaan yang memerintah.
"Masa ini adalah sesuai UMNO diberi 'roh' baharu, bukan sekadar
mendaftar ahli-ahli baharu dan meremajakan parti sahaja menjelang PRU
akan datang.
"UMNO menjaga 'rebannya' dengan baik, tidak kira ayam, kambing pun tidak
boleh dibiar terlepas kerana jika keluar akan menjadi mangsa harimau.
"Oleh itu kita harus mempertahankan kubu kita pada PRU akan datang dan
merampas balik mana-mana kerusi yang tewas pada PRU lepas," kata Ahmad
Zahid.
Beliau berkata dalam perkembangan poltik sekarang UMNO yang menjadi
indah dan dihormati kerana tidak mengenepikan agama dan kaum lain harus
mendekati rakyat dengan 'minda dan hati.'
Katanya UMNO sebagai parti yang matang boleh menerima sebarang perbezaan
pendapat tetapi tidak boleh bertolak ansur soal prinsip.
"Perbezaan pendapat bukan luar biasa bagi UMNO tetapi ia perlu
diterjemah melalui agenda politik," katanya dan menambah pemimpin hari
ini harus ada daya juang dan ketahanan yang kuat kerana perbezaan
pendapat mengundang pelbagai ujian.
Menurutnya perbezaan pendapat menyebabkan berlaku undi protes yang
menjadikan UMNO 'bengkok' dan keadaan akan menjadi lebih teruk apabila
ia ada bekas anggota "menyerang parti" menyebabkan ia sukar dibendung.
Dalam pada itu Ahmad Zahid menasihatkan pemimpin-pemimpin parti supaya
terus mendekati rakyat dan anggota di peringkat umbi dan bukan setakat
mendekati mereka menjelang pemilihan parti sama ada peringkat cawangan
atau bahagian hampir tiba.
-BERNAMA