UMNO Perlu Ambil Kira Kepentingan Bukan Melayu - Ahmad Zahid
SABAK BERNAM - UMNO perlu
mengambil kira kepentingan golongan bukan Melayu kerana parti tunjang
Barisan Nasional (BN) itu sentiasa mendapat sokongan mereka dalam
pilihan raya umum selama ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO
masih dan tetap memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu pada pilihan
raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
"Pada pilihan raya umum ke-14 akan datang, UMNO sebagai tulang belakang
BN mesti ambil kepedulian, kepentingan orang bukan Melayu untuk
membantu kemenangan BN selain deposit sokongan orang Melayu," katanya
ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sungai
Besar, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang menjalankan tugas timbalan presiden UMNO itu berkata
kemenangan BN di Sabah dan Sarawak juga selama ini adalah kerana
sokongan dan dukungan bukan Bumiputera.
Justeru, beliau mahu semua pemimpin UMNO perlu dilihat sebagai pemimpin
dan ketua yang adil agar pengundi dan rakyat terus menghargai dan
menyokong BN.
Selain itu, timbalan perdana menteri turut mengingatkan pemimpin UMNO
supaya sentiasa mendahulukan perpaduan dan persiapan menghadapi PRU14
akan datang daripada memfokuskan kepada pemilihan parti.
"Apa maknanya jawatan dalam parti tetapi kalah pilihan raya umum?," katanya.
Turut hadir Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunus.
Terdahulu, Ahmad Zahid turut melancarkan buku hasil nukilan Anggota
Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi berjudul "Buku Biru: 10 Sebab
Budiman Pilih UMNO".
-BERNAMA