UMNO Bukan 'Bursa Saham' Kaut Keuntungan, Kepentingan Peribadi - Ahmad Zahid
ALOR SETAR - Semua anggota dan pemimpin UMNO diminta
tidak menggunakan parti itu sebagai 'Bursa Saham' untuk mengaut
keuntungan dan kepentingan peribadi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata mereka yang
menggunakan peperangan politik untuk mendapatkan 'ghanimah' (harta
rampasan perang) hanya akan membawa kehancuran kepada parti.
"Dalam peperangan politik, apa diperlukan setelah menang ialah ghanimah
yakni pulangan politik. Jika ghanimah tidak diperoleh dalam peperangan,
maka pengikut akan melakukan protes senyap yang boleh menyebabkan
organisasi rosak.
"Apabila kepentingan peribadi jadi keutamaan dan organisasi politik jadi
pentas untuk ghanimah dicapai, tunggulah ketikanya kehancuran datang
tanpa dihancurkan daripada luar, (sebaliknya) kita yang izinkan
kehancuran berlaku dari dalam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan
UMNO Bahagian Pokok Sena di sini, hari Sabtu. Turut hadir Timbalan
Ketua UMNO bahagian itu Datuk Ariffin Man. Justeru itu, beliau
mengingatkan anggota UMNO bahawa parti berusia 70 tahun itu bukanlah
bursa saham yang boleh diperdagang untuk mengaut keuntungan, sebaliknya
ia adalah sebuah institusi sosial untuk orang Melayu serta tulang
belakang Barisan Nasional memperjuang kepentingan masyarakat majmuk.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu semua anggota UMNO mengetepikan soal
pesimistik tetapi memikirkan kaedah mencari pemimpin berkualiti yang
bukannya naik kerana politik wang.
"Kita ingin pemimpin yang ada kepimpinan, autentik dan asli serta tidak utamakan kepentingan peribadi," katanya.
Beliau turut meluluskan peruntukan bagi membina sebuah dewan serbaguna
di Pokok Sena serta RM2 juta untuk projek kecil di daerah itu.
-BERNAMA