UMNO, BN Sabah Mampu Berdepan Parti Baharu - Ahmad Zahid
NEW YORK - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah di bawah
kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman akan tetap mantap dan
mampu menangkis sebarang serangan di sebalik usaha menggerakkan satu
parti pembangkang di negeri itu.
Bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan
berhasrat mengambil alih sebuah parti politik di Sabah untuk bertanding
pada pilihan raya umum akan datang.
Ahmad Zahid, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan
Presiden parti, menyifatkan tindakan itu satu kejanggalan sebagaimana
yang berlaku apabila seorang bekas presiden UMNO dan pengerusi BN
bersama bekas timbalan presiden UMNO dan timbalan pengerusi BN
mewujudkan parti baharu baru-baru ini.
"Tetapi saya harus nyatakan bahawa atas rasa hormat dan sikap
profesional, kita tidak menidakkan hak rakyat Malaysia untuk berpolitik
demi menterjemahkan semangat demokrasi yang diamalkan kerajaan," katanya
kepada wartawan Malaysia di sini, Khamis.
Mohd Shafie, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,
mengunjungi pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya pada Khamis
untuk memohon proses pertukaran nama parti berkenaan dan logonya.
"Kita akan berlaku adil dan ROS akan melakukan tindakan secara
profesional sebagaimana kita mendaftarkan PPBM (Parti Pribumi Bersatu
Malaysia)," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.
Beliau berada di New York untuk mengetuai delegasi Malaysia pada Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Ahmad Zahid menegaskan apa yang penting ialah jentera UMNO dan BN
keseluruhannya diperkasakan bagi menentukan kemenangan pada Pilihan Raya
Umum ke-14 akan datang.
Mohd Shafie bertindak keluar UMNO pada 4 Julai lepas setelah digantung keanggotaannya pada 24 Jun 2016.
-BERNAMA