UMNO, BN Perlu Berhenti Bersikap Defensif, Sebaliknya Perlu Ofensif Dalam Media Sosial
KUALA NERANG - Timbalan Perdana Menteri berkata
sudah tiba masanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhenti bersikap
defensif, sebaliknya perlu menggunakan pendekatan ofensif dalam media
sosial supaya rakyat tidak terkeliru dengan fitnah yang dibuat pelbagai
pihak.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 87 peratus rakyat
Malaysia aktif dalam media sosial dan medium itu seharusnya digunakan
bagi meningkatkan kredibiliti parti dan kerajaan.
"Zaman ini, zaman media sosial, zaman langit tanpa sempadan, ada 30 juta
rakyat dengan 35 juta jumlah telefon bimbit kerana ada yang mempunyai
lebih daripada satu telefon bimbit...inilah gelombang baru, jika kita
tidak menghadapinya, kita akan tenggelam.
"Ini zaman untuk kita bangkit, sekarang masa untuk menyerang dan
bercakap benar, demi untuk mengukuhkan kerajaan," katanya ketika berucap
merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Padang Terap di sini,
hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO bahagian itu yang juga Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ahmad Zahid berkata beliau sendiri tidak terlepas daripada fitnah media
sosial apabila tersebar berita mengenai dirinya diserang penyakit angin
ahmar, minggu lepas.
"Kalau kena strok, takkanlah saya datang ke Padang Terap ini, pergi ke
Langkawi, Sungai Besar dan menghadiri ambang dan perarakan merdeka.
Sepatutnya doakanlah yang baik-baik kepada pemimpin, ini doa yang tidak
baik, dosa pun dapat, bertaubatlah segera," katanya sambil menyatakan
beliau memaafkan pihak yang membuat fitnah tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan UMNO Kedah supaya
tidak berada dalam keadaan selesa, sebaliknya perlu menggandakan usaha
bagi memenangi hati rakyat.
Ahmad Zahid berkata UMNO dan BN hanya menguasai 20 daripada 36 kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa ini dan pernah jatuh ke tangan
pembangkang pada pilihan raya umum ke-12 lepas.
Justeru, katanya, pemimpin dan anggota UMNO negeri jelapang padi itu
perlu muhasabah diri serta memberikan sokongan penuh kepada Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad
Bashah Md Hanipah untuk mengemudi jentera parti.
"Masalah yang berlalu biarlah berlalu...kita perlu jaga kandang politik
kita supaya lembu tidak dimakan harimau, ayam tidak dicuri musang kerana
banyak juga musang berbulu ayam, kita mesti jaga ahli, jaga kawan
komponen, ambil tahu hal ehwal rakyat secara adil," katanya.
Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan
RM2 juta kepada Parlimen Padang Terap bagi menjalankan projek menaik
taraf bekalan air di kawasan yang mengalami gangguan air bersih.
-BERNAMA