TPM Ahmad Zahid Sangkal Dakwaan Negara Dalam Ketidaktentuan
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
menyangkal dakwaan bahawa negara kini berada dalam keadaan
ketidaktentuan terhadap pelbagai perkara termasuk dalam bidang ekonomi
dan politik.
"Ramai yang kata seolah-olah negara kita tidak stabil dalam bidang
ekonomi, tidak stabil politik, kononnya masyarakat kita berpecah belah,
kononnya berlaku perbezaan pendapat kerana kita berlainan agama dan
budaya.
"Masyarakat Malaysia dianggap sedang menghadapi kehancuran? Dakwaan itu
silap," kata Timbalan Perdana Menteri semasa berucap merasmikan
Perhimpunan Agung Tahunan Kelapan Parti Makkal Sakti Malaysia, di sini
hari Ahad.
Turut hadir, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor dan Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia Datuk R.S
Thanenthiran.
Menarik perhatian mengenai kedudukan ekonomi negara yang berkembang 4.1
peratus pada separuh pertama tahun ini, Ahmad Zahid berkata pertumbuhan
itu sekali gus menunjukkan ekonomi negara pada tahap lebih mantap
berbanding negara jiran.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan meskipun terdapat
kekangan dan permasalahan ekoran kejatuhan harga minyak dan gas, tetapi
ia bukan sahaja dialami Malaysia, malahan negara lain di dunia.
Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berusaha sebaik mungkin untuk kemajuan dan kemakmuran negara ini.
Mengenai dakwaan keadaan ekonomi negara lebih baik pada zaman
pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid menyifatkan bekas
perdana menteri itu bernasib baik kerana ketika itu harga minyak dan
komoditi sememangnya meningkat.
"Kini keadaan berbeza. Ini bukan salah kepimpinan kerana ia bergantung kepada pasaran dunia," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya turut menyeru keseluruhan
anggota Parti Makkal Sakti, supaya bekerjasama dengan parti-parti
bersekutu kaum India yang lain dalam komponen BN untuk terus
memperjuangkan masyarakat India.
Menegaskan hanya BN yang mampu membela nasib masyarakat India, Ahmad
Zahid berkata ini boleh dilihat di bawah pentadbiran Najib di mana kaum
India telah diberi perhatian khusus di bawah Pelan Pembangunan Kaum
India termasuk menerusi Sekretariat Khas untuk Memperkasakan Usahawan
India (SEED).
"Setakat ini, kerajaan melalui SEED berjaya membantu 27,909 usahawan
India dengan jumlah RM1.1 bilion dalam tempoh singkat sejak penubuhannya
pada 2012," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta Makkal Sakti agar berusaha
mendaftarkan 7,000 pengundi baharu dalam kalangan belia India sebagai
pemilih pada pilihan raya umum akan datang.
Ahmad Zahid juga mahu melihat parti berkenaan bekerjasama dengan parti
komponen BN lain untuk memastikan 90 peratus pengundi India menyokong BN
pada pilihan raya berkenaan.
Sementara itu, pada sidang media selepas majlis berkenaan, Ahmad Zahid
yang mengulas tindakan dua pemimpin UMNO Johor yang bertindak keluar
parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), secara
sinis 'mengalu-alukan' tindakan berkenaan.
"Kita 'alu-alukan' Baharom (Pengerusi Tetap UMNO Gelang Patah, Datuk
Baharom Abdul Ghani) dan Jarvanti (Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kulai,
Datuk Tosrin Jarvanti) yang terkenal bersama-sama pihak PBBM, dan saya
fikir elok mereka berada di sana daripada jadi duri dalam daging UMNO,"
katanya.
Kedua-dua mereka mengumumkan peletakan jawatan masing-masing daripada
parti semasa mesyuarat perwakilan bahagian itu, pada Sabtu.
-BERNAMA-