Tahanan Guantanamo Warga Malaysia Mungkin Dipindahkan Ke Penjara Di Tanah Air
NEW YORK - Mohamad Bashir Lap, seorang daripada dua
tahanan warga Malaysia di kem tahanan Guantanamo Bay, mungkin
dipindahkan ke penjara di tanah air dan menjalani proses deradikalisasi,
kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata perkara itu
dimaklumkan dalam pertemuannya dengan Perutusan Khas Amerika Syarikat
Mengenai Penutupan Guantanamo, Lee Wolowsky di sini pada Rabu.
"Kemungkinan itu selari dengan usaha kita untuk membawa pulang tahanan
Malaysia di Guantanamo Bay," katanya kepada wartawan Malaysia pada
Khamis. Beliau berada di sini untuk mengetuai delegasi Malaysia pada
Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kedua-dua warga Malaysia berkenaan, Mohamad Bashir dan Mohd Farik Amin,
ditahan sejak 2006 kerana pembabitan mereka dengan Jemaah Islamiyah (JI)
pada awal 2000.
Mereka juga dikatakan terbabit dengan pengeboman Hotel J.W Marriott di
Jakarta pada 2003 dan telah ditahan di Bangkok pada tahun sama.
Menurut Ahmad Zahid, Lembaga Semakan Berkala Amerika Syarikat atau US
Periodic Review Board telah mengeluarkan keputusan pada 15 Sept lepas
bahawa kedua-dua mereka masih merupakan ancaman kepada keselamatan
Amerika Syarikat.
"Namun, Amerika Syarikat memaklumkan tentang kemungkinan seorang
daripada mereka (Mohamad Bashi) dihantar pulang ke Malaysia tetapi perlu
terus menjalani proses deradikalisasi," katanya.
Ringkasan semakan US PRD itu menyebut bahawa ia menggalakkan usaha
diambil bagi mendekati keluarga tahanan yang mungkin dihantar pulang itu
dan pegawai kerajaan Malaysia, berhubung kesediaan sekiranya tahanan
berkenaan dipindahkan ke Malaysia.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata satu Jawatankuasa Peringkat Tinggi
mengenai perkara itu akan segera ditubuhkan dengan beliau sendiri selaku
pengerusi.
Jawatankuasa itu akan dianggotai Kementerian Dalam Negeri, Kementerian
Luar, Kementerian Pertahanan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Peguam
Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan
Imigresen Malaysia.
Ahmad Zahid seterusnya berkata beliau menjemput Wolowsky untuk
berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi menjelaskan dengan lebih
terperinci kepada Jawatankuasa Peringkat Tinggi itu mengenai keperluan
atau syarat yang mesti dipenuhi untuk memindahkan tahanan Guantanamo itu
ke Malaysia.
"Saya yakin program deradikalisasi Malaysia itu mampu memulihkan tahanan
warga Malaysia berkenaan," katanya sambil menambah peratusan kejayaan
program itu mencecah 97.5 peratus dan diiktiraf pihak berkuasa
antarabangsa termasuk Interpol.
"Dalam pertemuan saya dengan Wolowsky, saya memaklumkan kepada beliau
bahawa program deradikalisasi Malaysia mempunyai Lembaga Pencegahan
Keganasan yang membuat semakan terhadap keberkesanan program itu ke atas
individu yang diletakkan di bawahnya," katanya.
Malahan, Akta Pencegahan Keganasan 2015 juga membolehkan penggunaan
Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) ke atas individu berkenaan, tambah
beliau.
Beliau berkata usaha memindahkan tahanan itu tidak bermakna Malaysia bersekongkol dengan kegiatan keganasan di mana-mana negara.
"Bagi kita apa yang penting ialah keprihatinan kerajaan terhadap rakyat
Malaysia yang ditahan tanpa bicara begitu lama di negara lain,"
tambahnya.
-BERNAMA