Semangat Kesalingan Dalam UMNO Pacu Kecemerlangan Memimpin Rakyat - Zahid
LANGKAWI - Semangat saling menghormati dan membantu
yang telah lama wujud dalam kalangan pemimpin dan anggota UMNO, mampu
memacu kecemerlangan parti untuk terus bersama rakyat, kata Naib
Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Beliau berkata semangat kesalingan ini semakin penting semasa UMNO
menghadapi ujian getir untuk membuktikan keupayaannya mengekalkan
keyakinan rakyat.
"Kita perlu terus bersama pemimpin, sama ada semasa senang atau susah
kerana kita adalah pengikut yang taat setia kepada parti," kata Ahmad
Zahid, yang turut menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO semasa
merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di sini hari
ini.
Menurutnya UMNO yang akan mencecah usia 70 tahun pada tahun depan sudah
menghadapi banyak pengalaman apabila pemimpin-pemimpinnya menghadapi
pelbagai dugaan yang menguji keupayaan mereka untuk terus menerajui
parti dan memimpin rakyat.
"Hanya pemimpin yang mempunyai daya tahan, daya juang dan daya saing
yang tinggi sahaja yang dapat melepasi ujian ini," katanya.
Ahmad Zahid berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak akan terus memberi perhatian kepada masalah-masalah yang
dihadapi di Langkawi yang sudah dirancang untuk menjadi destinasi
pelancongan utama negara.
Katanya sejak mengambil alih sebagai timbalan perdana menteri, beliau
telah banyak mengetahui masalah yang dihadapi di sini dan sedang
mengambil langkah penyelesaian yang telah dijanjikan sebelum ini.
"Saya akan menterjemahkan apa-apa yang telah dijanjikan oleh timbalan perdana menteri sebelum saya," katanya.
Menurutnya janji yang pernah dibuat bekas Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Menteri Pelajaran ketika itu
termasuk pembinaan tiga buah sekolah di Langkawi.
Sebagai Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid juga akan mengarahkan Jabatan
Pendaftaran untuk menjalankan operasi khas mengenal pasti kira-kira 600
orang penduduk tempatan yang masih belum memiliki kad pengenalan di
pulau ini.
Katanya permohonan untuk sebuah lagi balai bomba dibina di Langkawi yang dicadangkan di Padang Matsirat akan dipercepatkan.
"Saya memberi komitmen bahawa Langkawi akan tetap menjadi keutamaan
khususnya dalam sektor pelancongan dan pembangunan-pembangunan lain,"
katanya.
-BERNAMA