Pertemuan Dr Mahathir Dan Anwar Tiada Keikhlasan - Ahmad Zahid
PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pertemuan bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam adalah pertemuan politik yang tiada
keikhlasan.
Beliau juga melihat usaha Dr Mahathir untuk menemui Anwar yang sebelum
ini merupakan seteru politiknya itu sebagai tindakan politik terdesak,
semata-mata untuk meraih sokongan daripada pihak pembangkang.
"Beliau sanggup menemui seteru politik beliau. Namun perlu dilihat
bahawa tindakan itu adalah tindakan politik yang terdesak," katanya
kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli lembaga
pengarah, pengurus syarikat dan pelanggan industri kawalan keselamatan
negara, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini
Sdelasa.
Ahmad Zahid yang juga naib presiden UMNO yang menggalas tugas timbalan
presiden parti itu berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan Dr
Mahathir dan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam di mana
Anwar mempunyai kes berkaitan Akta Majlis Keselamatan Negara.
Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998 sebagai timbalan perdana menteri. Anwar juga dipecat daripada UMNO.
Anwar kemudian dikenakan pertuduhan berkaitan rasuah dan meliwat.
Beliau dihukum enam tahun penjara pada 1999 berhubung empat tuduhan
rasuah.
Beliau dibebaskan pada 2 Sept 2004 setelah hampir enam tahun menjalani
hukuman penjara apabila Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya
terhadap sabitan kesalahan meliwat.
Kini, bekas ketua pembangkang itu menjalani hukuman penjara lima tahun bagi satu lagi sabitan kesalahan meliwat.
-BERNAMA