Kekalahan Di Negeri Tertentu Disebabkan Ketidakseragaman BN - Ahmad Zahid
KEPALA BATAS - Kekalahan Barisan Nasional (BN) di
negeri tertentu dalam pilihan raya umum ke-12 dan ke-13 berpunca
daripada ketidakseragaman parti-parti komponennya, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden
UMNO berkata adalah penting bagi pemimpin dan anggota UMNO serta
parti-parti komponen BN untuk bertindak seragam daripada sudut
kerohanian dan pemikiran bagi memastikan BN terus jitu dan kuat.
Menurutnya kemenangan pembangkang di Pulau Pinang, Selangor dan
Kelantan bukan kerana mereka kuat tetapi adanya 'orang dalam' yang turut
menyumbang kepada kemenangan itu.
"...mengapa kita kecundang dalam pilihan raya umum ke-12 dan PRU13
adalah kerana ketidakseragaman. Ini kerana, ada individu yang ada agenda
sendiri, pemimpin yang ada agenda individualistik yang melemahkan
kekuatan kita.
"Mulai tahun ini, apabila Perhimpunan Agung UMNO dan Konvensyen BN
diadakan kita (perlu) bangkit, kita bangun, kita bawa keseragaman,
kesatuan pemikiran serta kesatuan tindakan harus diseragamkan di seluruh
negara untuk mencemerlangkan UMNO dan BN," katanya semasa berucap
merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di sini,
hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata setiap teguran yang dibuat terhadap
parti-parti komponen BN adalah demi kebaikan semua dan bukannya untuk
menyinggung pihak tertentu kerana setiap parti komponen merupakan tulang
belakang BN.
"Benar, UMNO kini kembali bangkit. Dalam keadaan ini, UMNO ikhlas untuk
membantu rakan-rakan kita dalam BN yang diuji untuk (sama-sama)
bangkit," katanya.
Terdahulu Ahmad Zahid dalam ucapannya pada perasmian Persidangan
Perwakilan UMNO Balik Pulau berkata parti-parti komponen BN khususnya
Gerakan dan MCA perlu mengikut rentak kerja UMNO bagi memastikan
kemenangan pada PRU14.
Beliau berkata kerajaan DAP Pulau Pinang sekarang tidak sehebat mana
dan hanya mengutip hasil daripada usaha BN semasa memerintah negeri itu.
"Yang kerja BN, mereka (DAP) hanya kutip hasil...maka, kita wajib ambil
kembali Pulau Pinang (daripada pembangkang). Cukuplah beri kemenangan
kepada orang lain akibat pertelagahan dan kelemahan kita," katanya.
-BERNAMA-